Empat dari lima Gen Z pilih kondominium, pangsapuri

Empat dari lima Gen Z pilih kondominium, pangsapuri


PETALING JAYA: Empat dari lima pembeli hartanah Gen Z memilih kondominium, manakala milenial dan Gen X masih cenderung ke arah rumah bertanah, menurut analisis terbaharu oleh Juwai IQI.

Pengasas Bersama Juwai IQI dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari berkata, data tersebut menunjukkan perbezaan yang luar biasa antara generasi iaitu lebih 80 peratus pembelian Gen Z adalah untuk kondominium atau pangsapuri.

Katanya, angka tersebut jauh lebih tinggi daripada bahagian Gen X dan boomers yang masih lebih cenderung untuk membeli rumah bertanah.

“Kami boleh membahagikan mengikut lingkungan umur untuk memudahkan perbandingan. Jika anda berumur 20an, kemungkinan besar anda akan membeli satu unit. Jika anda berumur 30an, 40an atau 50an, anda berada dalam satu generasi yang berkemungkinan besar membeli hartanah bertanah.

“Apabila anda mencapai usia 60an dan 70an, anda sekali lagi mula menjadi arah aliran ke arah  beberapa unit. Dan, jika anda berumur lebih daripada 80 tahun, anda hampir pasti akan membeli satu unit,” katanya dalam kenyataan.

Data dari analisis tersebut  diambil daripada rekod Juwai IQI melibatkan lebih daripada 127,000 transaksi semua jenis di Malaysia sejak 2018.

Sementara itu, Kashif berkata, data tersebut menunjukkan kepada bahawa pembeli rumah termuda Malaysia memilih jalan yang berbeza daripada ibu bapa dan datuk nenek mereka.

“Generasi yang lebih tua berkemungkinan membeli rumah bertanah kerana mereka mahukan ruang untuk keluarga muda atau yang sedang membesar iaitu golongan milenial, yang berumur 30an dan awal 40an serta Gen X, lewat 40an dan 50an.

“Data ini menyerlahkan bahawa golongan muda Malaysia berada pada tahap kehidupan yang berbeza, jadi mereka mempunyai lebih banyak gaya hidup bandar, bajet dan keutamaan. Ramai yang ingin tinggal berdekatan dengan tempat kerja, pengangkutan dan kemudahan,” ujarnya.

Beliau berkata, Gen Z, yang merupakan pembeli rumah termuda hari ini adalah generasi terbesar dan menyumbang hampir sembilan juta rakyat Malaysia. 

“Merekalah yang akan memacu permintaan dalam pasaran perumahan untuk 20 tahun akan datang apabila mereka menaik taraf kepada unit yang lebih besar atau rumah bertanah.

“Pilihan mereka akan memberi impak besar kepada cara bandar dan pinggir bandar kita berkembang.

“Data juga menunjukkan bahawa apabila melepasi usia pertengahan dan semakin tua, mereka lebih berkemungkinan untuk membeli unit,” jelasnya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top