sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia mempertaruhkan kesebelasan utama terbaik bagi mengharungi aksi persahabatan menentang Singapura dengan kombinasi tonggak tempatan dan pemain kacukan.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Haziq Nadzli diberi kepercayaan menjaga gawang negara, manakala Dion Cools selaku kapten mengetuai benteng pertahanan dibantu Facundo Garces, Jon Irazabal dan Corbin Ong.
Barisan tengah pula dikemudi Nooa Laine, Nazmi Faiz Mansor dan Stuart Wilkin selain turut menyenaraikan Arif Aiman Hanapi yang berperanan sebagai senjata utama merobek pertahanan Singapura.
Di bahagian serangan, Endrick dos Santos Joao Figueiredo diberi tanggungjawab memburu jaringan sekali gus menghadirkan ancaman nyata kepada kubu lawan.
Pertembungan malam ini dijangka menarik perhatian kerana kali pertama menyenaraikan Richard Chin sebagai pemain simpanan untuk skuad Harimau Malaya.
Sementara itu, penyerang berbisa negara Rodrigo Holgado pula turut disenaraikan dibangku simpanan dan kemungkinan ‘taringnya’ disimpan memandangkan pemain itu baharu saja tiba ke tanah air semalam.
Dengan reputasi Harimau Malaya yang kini semakin meningkat di pentas antarabangsa, penyokong tanah air pasti mengharapkan kemenangan sekali gus mengukuhkan keyakinan skuad kendalian Peter Cklamovski.
© New Straits Times Press (M) Bhd






