Generasi baharu perlu berani bersuara, berjuang – Anwar

Generasi baharu perlu berani bersuara, berjuang – Anwar


KUALA LUMPUR: Generasi baharu perlu mempunyai sikap berani bersuara dan boleh menjadi ‘juara’ dalam memperjuang pelbagai isu dihadapi masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, generasi muda bakal berdepan pelbagai isu termasuk soal hutang dan kemiskinan walaupun negara semakin maju sekiranya tiada tindakan diambil oleh mereka.

Kata beliau, generasi tersebut perlu memahami bahawa masyarakat memerlukan mereka untuk mempunyai idea dan prinsip.

“Kita memerlukan generasi muda yang percaya kepada kebebasan, keadilan dan kemanusiaan (kerana) secara bersama kita boleh melakukan perubahan.

“Untuk populasi kita, masih terdapat jurang antara gender, kemiskinan, golongan terpinggir dan seharusnya anak muda ini berani, bersuara mengenai isu yang menjadi perhatian serta keutamaan,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa (iFUTURE 2024) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini malam ini.

Program iFUTURE 2024 yang berlangsung tiga hari melibatkan lebih 1,000 pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa daripada 46 buah negara.

Program tersebut menjadi pentas menemukan para pemimpin mahasiswa, kepemimpinan sektor pendidikan tinggi negara dan menteri-menteri Kabinet bagi berdiskusi dalam tujuh sesi forum mengenai pelbagai topik berkaitan kepemimpinan bagi membuka perspektif baharu dalam memahami kedinamikan peranan antara satu sama lain

Yang hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir.

Sementara itu, Anwar berharap iFUTURE 2024 digunakan sebaiknya oleh pemimpin-pemimpin mahsiswa bagi bertukar pandangan antara mereka berlandaskan prinsip masing-masing.

“Saya bangga dengan semangat yang ditunjukkan. Kita harus guna ruang ini sebaik mungkin, memanfaatkan waktu, membina silaturahim, menimba pengalaman dengan teman-teman dan pertahan cita-cita murni dan idealism.

“Apalah erti hidup tanpa pegangan prinsip dan nilai, apa erti kekayaan dan ilmu kalau tidak dijadikan nilai yang baik sebagai paksi,” katanya. –UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top