PETALING JAYA: Pelakon, Nur Fazura, mencuri perhatian apabila menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan segelintir pihak mempamerkan budaya songsang secara terbuka di media sosial.
Fazura, atau Nur Fazura Sharifuddin, berpendapat perkara seumpama itu tidak wajar dinormalisasikan dalam masyarakat, apatah lagi dipaparkan secara terang-terangan kepada umum.
“Semoga tidak benar dan tidak dinormalisasikan, apatah lagi secara terangan,” tulisnya ringkas menerusi aplikasi Threads.
Kenyataan tersebut ditinggalkan Fazura di ruangan komen pada satu hantaran video tular yang memaparkan pengakuan seorang wanita mengenai perasaannya terhadap pasangan sejenis, walaupun hubungan itu tidak kesampaian.
Video berkenaan turut memaparkan kapsyen ‘Aku gagal membuktikan dia satu-satunya di hatiku. Tapi dia berhasil membuktikan hanya ada aku di hatinya’ selain memperlihatkan kedua-dua wanita tersebut berpelukan.
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya. Rata-rata berpendapat kekecewaan dalam percintaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melanggar tuntutan agama serta norma budaya timur.
“Jangan disebabkan kecewa dengan lelaki, kita sanggup membelakangkan agama,” menurut salah satu komen.
“Malu kita bila Fazura sendiri yang tegur,” tulis komen yang lain.
Sementara itu, pelakon Ako Mustapha turut menyokong pandangan berkenaan dengan menegaskan agar budaya sedemikian tidak dinormalisasikan dalam masyarakat. -UTUSAN






