Pasukan SMK Seksyen 19 mara ke pentas final Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 selepas menyingkirkan cabaran SMK Dato’ Harun di separuh akhir pada Khamis.
SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam melangkah penuh bergaya ke pentas final Kejohanan Bolasepak Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18) selepas menewaskan SMK Dato’ Harun di Padang B Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Khamis.
Perlawanan separuh akhir itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa penuh sebelum SMK Seksyen 19 tampil lebih tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk kemenangan 4-2 bagi mengesahkan kemenangan ke atas naib juara Piala Sumbangsih berkenaan.
Sementara itu, pengurus pasukan SMK Seksyen 19, Mohammad Khairil Badiizaman, menegaskan faktor ketenangan dan disiplin pemain menjadi kunci utama kejayaan pasukannya mara ke final.
“Ketenangan pemain sangat saya puji. Walaupun perlawanan terikat 2-2 dan tekanan begitu tinggi, mereka tetap fokus, ikut arahan serta percaya pada latihan yang dibuat. Itu menunjukkan kematangan mental pasukan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Dengan kemenangan itu, wakil Shah Alam berpeluang merebut kejuaraan apabila bakal berentap menentang SMK Meru dalam aksi final di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.
Kejohanan ini mendapat sokongan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad selaku penaja utama untuk Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 dan Piala Raja Muda Selangor B-12, manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.