am@hmetro.com.my
Ipoh: Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-69 Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini berlangsung lancar dengan dihadiri kira-kira 50,000 orang.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke sambutan itu bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama sama Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan exco kerajaan negeri.
Sambutan bermula kira-kira 8 pagi dengan Sultan Nazrin berkenan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro, Taiping, diiringi oleh Brass Band Kapal Diraja (KD) Pelandok Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sambutan disusuli dengan pelbagai acara yang diatur termasuk persembahan muzikal yang menyampaikan mesej berkaitan kepentingan membendung ancaman berita palsu dan perarakan 105 kontinjen yang membabitkan 5,884 peserta.
Terdapat persembahan Tempur Tanpa Senjata (TTS) oleh Kem Remilies (Markas 2 Briged) Ipoh, disusuli perarakan kontinjen kenderaan yang membabitkan 16 penyertaan meliputi 301 unit kenderaan selain, pertunjukan udara oleh pesawat jenis pengangkut termasuk C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
© New Straits Times Press (M) Bhd
