Ronaldo dah ada kawan baru

Ronaldo dah ada kawan baru

Ronaldo dah ada kawan baru


Lisbon: Cristiano Ronaldo menghantar mesej menyentuh hati kepada maskot muda yang menemaninya ke padang dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Portugal, Sabtu lalu.

Juara Liga Negara-Negara UEFA (Nations League) itu memulakan kempen mereka dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Armenia dalam Kumpulan F.

Pemain berusia 40 tahun itu menjaringkan gol kedua pasukannya melalui hantaran mudah dari jarak dekat, sebelum mencatatkan gol antarabangsa ke-140 menerusi rembatan luar kotak penalti yang menakjubkan.

Sebelum perlawanan bermula, ramai penyokong tersentuh apabila melihat maskot yang berjalan masuk ke padang bersama kapten Portugal itu mengalirkan air mata kerana terlalu terharu.

Ronaldo kemudiannya berkongsi satu video detik tersebut di mana dia kelihatan memujuk kanak-kanak itu, disusuli jenaka dan pelukan mesra.

Beliau menulis: “Saya mendapat kawan baru semalam. Bersyukur atas kasih sayang dan sokongan setiap hari. Saya harap semua orang dapat mengejar impian mereka.”

Pemain veteran itu kini sedang menyertai kempen kelayakan keenam dalam karier antarabangsa dan telah berjaya menjaringkan gol dalam setiap 23 musim yang dimainkan bersama skuad kebangsaan Portugal.

Gol keduanya malam itu merupakan rembatan padu dari jarak 25 ela, menjadikannya 10 gol dalam 10 perlawanan kompetitif terakhir bersama Portugal.

Joao Felix turut menyumbang dua gol, manakala Joao Cancelo turut mencetak jaringan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top