JARINGAN tunggal Joao Figueiredo sudah cukup memadai bagi membantu skuad Harimau Malaya menewaskan Palestin 1-0, pada aksi persahabatan Tier 1, di Stadium Sultan Ibrahim, pada Isnin.
Skuad negara bermula garang sebaik wisel permulaan dan hampir membolosi gawang pelawat seawal minit pertama.
Namun lorongan cantik pemain lincah, Arif Aiman Mohd Hanapi gagal disempurnakan jentera serangan pasukan.
Seminit kemudian, kegagalan itu ditebus penyerang Harimau Malaya, Joao Figueiredo dengan jaringan pembukaan pada minit ke-2.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Palestin dilihat mula bangkit dengan mengatur asakan ke pintu gol tuan dalam usaha menjaringkan gol penyamaan.
Bagaimanapun, asakan-asakan yang dilakukan berjaya dikekang dengan baik oleh benteng pertahanan skuad negara.
Minit ke-27, menyaksikan Arif Aiman sekali lagi berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjag gol lawan.
Palestin mendapat peluang keemasan untuk menjaringkan gol pada minit ke-31, namun rembatannya berjaya diselamatkan penjaga gol Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Minit ke-34,menyaksikan skuad Harimau Malaya hampir menambah jaringan, namun penjaga gol Palestin, Rami Hamada berjaya menyelamatkan keadaan.
Penghujung babak pertama menyaksikan tiada sebarang tambahan jaringan dihasilkan kedua-dua pasukan.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan semakin menggandakan asakan dalam usaha meledak jaringan.
Bagaimanapun, Palestin dilihat memiliki peluang keemasan menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan penyerang, Tamer Seyam pada minit ke-73.
Namun tandukan gagal menepati sasaran bagi melegakan seketika skuad negara.
Penghujung perlawanan menyaksikan Palestin semakin hebat mengasak bagi memburu jaringan.
Namun, tiada jaringan berjaya dihasilkan bagi menyaksikan kedudukan 1-0 memihak skuad Harimau Malaya kekal hingga ke wisel penamat.