Penjaga gol maut selepas selamatkan sepakan penalti

Penjaga gol maut selepas selamatkan sepakan penalti

Penjaga gol maut selepas selamatkan sepakan penalti


Antonio rebah selepas menyelamatkan sepakan penalti.

AKSI futsal di Brazil dikejutkan dengan insiden tragis apabila seorang penjaga gol maut beberapa saat selepas berjaya menyelamatkan sepakan penalti.

Mangsa, Antonio Edson dos Santos Sousa, 34, yang beraksi bersama pasukan amatur Sind Motos, menahan rembatan kencang menggunakan dadanya sebelum meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan.

Namun, detik gembira itu bertukar tragedi apabila beliau tiba-tiba rebah, sekali gus mencetuskan suasana panik dan memaksa pasukan perubatan bergegas memberikan rawatan kecemasan.

Laporan media tempatan mengesahkan Dos Santos Sousa meninggal dunia sebaik tiba di hospital meskipun usaha menyelamatkan nyawanya telah dilakukan.

“Dengan penuh dukacita kami menerima berita pemergian Antonio Edson dos Santos Sousa, seorang atlet yang menzahirkan kerjayanya dengan dedikasi, bakat dan semangat berpasukan.

“Dia akan sentiasa dikenang di dalam dan luar gelanggang, bukan sahaja sebagai pemain contoh, tetapi juga sebagai insan yang disenangi ramai.

“Dalam saat penuh dukacita ini, kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan seluruh komuniti sukan. Semoga mereka diberi kekuatan dengan memori indah serta legasi inspirasi yang ditinggalkan Antonio Edson dalam dunia futsal,” kata Persekutuan Futsal Para dalam kenyataan rasmi.

Difahamkan kejadian berlaku di Augusto Correa, negeri Para, utara Brazil. Susulan tragedi itu, semua perlawanan pada keesokan harinya ditangguhkan sebagai tanda penghormatan.

Bagaimanapun, punca rasmi kematian masih belum dapat dipastikan.



Source link

OR

Scroll to Top