Peminat geram, kecewa kegagalan skuad B-23

Peminat geram, kecewa kegagalan skuad B-23


Fergus Tierney (kanan) antara pemain yang mendapat kritikan peminat selepas skuad B-23 tunduk kepada Thailand dalam perlawanan terakhir Kumpulan F di Stadium Thammasat pada Selasa malam.

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara sekali lagi gagal menunaikan harapan apabila tewas 1-2 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Stadium Thammasat, Pathum Thani pada malam Selasa.

Kekalahan itu menutup peluang Malaysia ke pusingan akhir di Arab Saudi selain mengulangi episod duka pada Julai lalu apabila tersingkir di peringkat kumpulan Piala ASEAN B-23 selepas seri tanpa jaringan dengan Indonesia di Jakarta.

Dalam kempen kali ini, anak buah Nafuzi Zain bermula dengan kekalahan 0-1 kepada Lubnan, bangkit membelasah Mongolia 7-0 namun gagal mengekalkan momentum apabila kecundang kepada Thailand dalam aksi penentuan.

Kegagalan itu mencetuskan gelombang kritikan di laman rasmi Facebook Malaysia National Team.

Ada yang menyifatkan ia gambaran sebenar kemampuan skuad muda jika hanya bergantung kepada pemain tempatan.

“Tanpa idea revolusi Harimau Malaya, inilah gambaran skuad masa depan,” kata Meiza Limmays.

Pandangan sama dikongsi Albertfrankey_official yang menyifatkan kegagalan itu sudah dijangka, manakala Sep Wahab menegaskan Malaysia masih tidak mampu bersaing dengan Indonesia dan Thailand.

Ada juga yang mencadangkan penggunaan pemain warisan sebagai jalan keluar selain menilai kelemahan teknikal di atas padang.

“Kalau nak hasil segera, heritage players adalah solusi. Majoriti pemain tempatan masih jauh untuk setanding kemampuan teknikal pemain warisan,” jelas Rafiq Husaini.

Malah, pendekatan taktikal jurulatih turut menjadi sasaran sindiran dengan persoalan ke mana hilangnya teori “Nafuzi Ball”.

Dalam masa sama, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) didesak melakukan penilaian semula hala tuju pembangunan belia agar Malaysia tidak terus ketinggalan berbanding Thailand dan Vietnam.

Meski kekecewaan jelas dirasai, sebahagian penyokong masih berharap kegagalan ini dijadikan titik tolak kepada reformasi menyeluruh, khususnya dalam pembangunan akar umbi, demi memastikan Harimau Malaya memiliki skuad pelapis lebih mantap pada masa depan.



Source link

OR

Scroll to Top