London: Legenda golf, Tiger Woods menunjukkan perkembangan positif ketika menjalani program pemulihan intensif selepas ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.
“Dia mendapatkan rawatan daripada pakar yang membantu menangani kesakitan badan tanpa penggunaan opioid yang boleh menyebabkan ketagihan.
“Dia hanya berhubung melalui panggilan atau Zoom dengan beberapa individu terdekat,” menurut sumber kepada akhbar Britain itu.
Antara individu berkenaan termasuk teman wanitanya Vanessa Trump; anak perempuannya Sam dan anak lelakinya Charlie; serta ejennya sejak 1998, Mark Steinberg.
Menurut laporan itu, Woods yang kini berusia 50 tahun dipercayai berada di Switzerland bagi menjalani program rawatan kediaman yang dijadualkan berlangsung selama 90 hari.
Dia menjalani rawatan berkenaan selepas terbabit dalam kemalangan pada 27 Mac berhampiran kediamannya di Jupiter Island, Florida.
Woods ditahan atas syak memandu di bawah pengaruh bahan terlarang serta enggan menjalani ujian air kencing selepas kenderaan Land Rover dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah trak sebelum terbalik.
Beliau tidak mengalami kecederaan dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dikenakan.
Pihak berkuasa memaklumkan Woods berada di bawah pengaruh ubat, bukan alkohol. Ketika ditahan, dia memiliki dua pil hydrocone di dalam poketnya.
“Dia memberi tindak balas baik terhadap rawatan dan Vanessa gembira dengan perkembangan yang diterima,” kata seorang rakan kepada Trump.
Pada pagi hari kejadian, timbul spekulasi sama ada Woods akan beraksi di Masters. Dia tidak beraksi dalam Jelajah PGA sejak Kejohanan The Open 2024 selepas gagal melepasi pusingan kelayakan susulan kecederaan.
Woods turut mengalami kecederaan tendon Achilles kiri pada musim bunga 2025 sebelum menjalani pembedahan penggantian cakera lumbar pada Oktober.
Ini bukan kali pertama dia terbabit dalam kemalangan. Pada 23 Februari 2021, pihak berkuasa memaklumkan Woods memandu pada kelajuan tinggi sebelum terbabas berhampiran Los Angeles, menyebabkan kecederaan serius pada kaki kanan dan buku lali yang memerlukan beberapa pembedahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






