Leverkusen raih kemenangan sulung selepas pecat Ten Hag

Leverkusen raih kemenangan sulung selepas pecat Ten Hag


ALEJANDRO Grimaldo muncul wira Bayer Leverkusen selepas meledak dua gol menerusi sepakan percuma ketika membantu pasukannya menewaskan Eintracht Frankfurt 3-1 di BayArena, sekali gus mencatat kemenangan pertama Bundesliga musim ini pada Sabtu.

Kejayaan itu turut menjadi permulaan manis buat jurulatih baharu, Kasper Hjulmand, yang hanya beberapa hari mengambil alih pasukan selepas Erik ten Hag dipecat pada dua perlawanan awal musim.

Kemenangan berkenaan hadir meskipun Leverkusen terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada baki setengah jam terakhir selepas kapten, Robert Andrich, dilayangkan kad merah.

Rakan sepasukannya, Ezequiel Fernandez, turut menerima nasib sama di masa kecederaan.

“Saya sangat bangga dengan pemain. Mereka menunjukkan semangat juang luar biasa. Bermain dengan 10 orang sudah sukar, dengan sembilan orang lebih mencabar, tetapi pasukan tetap tampil dengan karakter, kekuatan dan kualiti.

“Kami mahu terus memperbaiki kelemahan. Namun selepas permulaan yang sukar buat kelab, kemenangan ini benar-benar memberi tenaga dan keyakinan kepada semua,” kata Hjulmand.

Leverkusen bermula garang apabila Grimaldo membuka jaringan menerusi sepakan percuma cantik seawal minit ke-10.

Patrik Schick kemudian menggandakan kedudukan 2-0 pada penghujung babak pertama selepas Nathan Tella dijatuhkan oleh kapten Frankfurt, Robert Koch.

Bagi Schick, kemenangan ini adalah permulaan terbaik di bawah kendalian jurulatih baharu mereka.

“Dia (Hjulmand) seorang yang cukup menyenangkan. Dia berterus terang dan memberi arahan yang mudah difahami. Dengan lebih masa, kami akan tambah baik lagi corak permainan. Rasanya tiada cara lebih baik untuk bermula di bawah jurulatih baharu,” katanya.

Can Uzun hampir merencatkan semangat penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol pada awal babak kedua untuk menjadikan kedudukan 2-1, namun kebangkitan Frankfurt tidak menjadi kenyataan biarpun Andrich dilayangkan kad merah pada minit ke-59.

Leverkusen hampir menambah gol ketiga menerusi percubaan Nnamdi Collins yang sekadar menggegar palang, sebelum Grimaldo sekali lagi menjadi wira dengan gol kedua peribadi pada masa kecederaan menerusi sepakan percuma menakjubkan.

“Saya sangat gembira dapat membantu pasukan. Saya sudah berlatih sepakan percuma selama bertahun-tahun, inilah hasilnya. Saya bangga dengan dua gol ini kerana memastikan kemenangan,” kata Grimaldo.

Kemenangan itu menamatkan permulaan musim yang bergelora buat Leverkusen. Erik ten Hag sebelum ini dipertanggungjawabkan untuk membina semula skuad selepas ramai pemain meninggalkan kelab susulan pemergian jurulatih Xabi Alonso ke Real Madrid.

Namun, pengendali dari Belanda itu gagal meninggalkan impak apabila pemain enggan mengikut arahannya dan wujud keadaan tidak harmoni, termasuk ketika seri 3-3 menentang Werder Bremen pada 30 Ogos lalu.

Ten Hag akhirnya dipecat dan digantikan oleh Hjulmand, yang hanya sempat mengendalikan dua sesi latihan sebelum menentang Frankfurt, sebuah pasukan yang rekodnya selepas dua perlawanan liga hanya dibayangi Bayern Munich.

Ringkasan AI

  • ALEJANDRO Grimaldo jadi wira Bayer Leverkusen dengan dua gol sepakan percuma menewaskan Eintracht Frankfurt 3-1
  • Jurulatih baru, Kasper Hjulmand, capai kemenangan pertama bersama Leverkusen sejak mengambil alih selepas Erik ten Hag dipecat
  • Leverkusen bermain dengan 10 pemain baki setengah jam terakhir, kapten Robert Andrich dan Ezequiel Fernandez menerima kad merah
  • Patrik Schick dan Grimaldo mencetak gol, menyatakan permulaan positif di bawah kendali Hjulmand
  • Kemenangan ini beri tenaga dan keyakinan kepada Leverkusen setelah permulaan musim yang bergelora



Source link

OR

Scroll to Top