'Mayat' batuk ketika pengebumian

'Mayat' batuk ketika pengebumian


Mumbai: Satu upacara pengebumian di India bertukar kecoh apabila seorang remaja lelaki yang disahkan mati otak tiba-tiba bergerak dan batuk, mengejutkan ahli keluarga yang sedang berkabung.

Memetik laporan South China Morning Post, dalam kejadian di Trimbakeshwar Taluka, negeri Maharashtra itu, Bhau Lachke, 19, sebelum ini disahkan berada dalam keadaan mati otak selepas parah akibat kemalangan jalan raya.

Dia dikejarkan ke sebuah hospital swasta, namun selepas pelbagai usaha untuk menyelamatkannya gagal, doktor memaklumkan kepada keluarga bahawa peluangnya untuk hidup adalah hampir tiada.

Hancur luluh dengan berita itu, keluarga mangsa membawa pulang ‘jasad” anak mereka untuk disempurnakan urusan pengebumian.

Bagaimanapun, ketika upacara itu hampir dimulakan, detik dramatik berlaku apabila tubuh Lachke secara tiba-tiba menunjukkan tanda-tanda remaja itu masih hidup.

Bermula dengan pergerakan kecil, tubuh remaja itu kemudiannya mengeluarkan bunyi batuk beberapa kali, menyebabkan suasana panik seketika.

‘Kebangkitan’ itu mengejutkan sanak saudara dan orang ramai yang kemudiannya bergegas membawanya semula ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Lachke kini dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa bergantung sepenuhnya pada alat bantuan pernafasan.

Insiden itu mencetuskan kemarahan keluarga mangsa yang menuduh pihak hospital melakukan kesilapan diagnosis dan mengelirukan mereka dengan mengisytiharkan anak mereka sudah tiada.

Bagaimanapun, pihak hospital mempertahankan diri dengan menyatakan keluarga mangsa mungkin salah faham mengenai istilah perubatan “mati otak”, yang tidak semestinya bersamaan dengan kematian klinikal.

“Kami sangka kami sudah kehilangannya tetapi ini terasa seperti satu keajaiban. Kami hanya mahu dia menjadi lebih baik,” kata salah seorang saudaranya, Gangaram Shinde.

Kisah itu tular di media sosial dan mencetuskan perbincangan hangat dengan rata-rata netizen menyifatkannya sebagai satu “keajaiban perubatan” yang sukar dipercayai.

Dalam pada itu, seorang netizen sempat berseloroh, “Persoalan sebenar ialah, adakah mereka masih perlu membayar kos pengebumian itu?”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top