BUKIT KAYU HITAM – Seorang suri rumah terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas sebuah lori kontena merempuh bahagian hadapan rumahnya di Taman Desa Bayan Emas, di sini, hari ini.
Shafiqa Shafie, 37, berkata, ketika kejadian kira-kira 2.30 petang itu, dia sedang berehat di dalam biliknya sebelum terdengar bunyi kuat brek kenderaan.
“Saya ada terdengar bunyi lori membrek beberapa kali. Saya intai daripada tingkap tetapi tidak nampak, jadi saya terus ke bahagian dapur. Kemudian saya dengar bunyi rempuhan kuat dan lihat sebuah lori berada di bahagian tempat letak kereta rumah.
“Saya terkejut dan menggigil, nasib baik ada jiran yang datang membantu. Saya bersyukur kerana sempat keluar dari bilik,” katanya ketika ditemui pemberita.
Shafiqa berkata, meskipun lori itu tidak merempuh bahagian biliknya, tetapi serpihan batu-bata serta siling jatuh di atas katil.
Menurut Shafiqa, kereta dan motosikal miliknya juga rosak teruk akibat dilanggar lori berkenaan.