Peminat harap hanya dongeng, yakin Harimau Malaya ada dokumen kukuh

Peminat harap hanya dongeng, yakin Harimau Malaya ada dokumen kukuh


GELOMBANG kekecewaan jelas dirasai dalam kalangan penyokong bola sepak negara susulan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan denda terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta penggantungan tujuh pemain warisan utama Harimau Malaya.

Komen di media sosial bercampur-campur, dengan ada yang mengkritik dan menyalahkan FAM selepas isu memalukan tersebut.

Namun, sebahagian penyokong memilih untuk berpandangan positif dengan berharap rayuan yang bakal dikemukakan FAM dapat membuahkan hasil sekali gus menyelamatkan masa depan skuad kebangsaan.

Seorang penyokong setia Harimau Malaya, Mohd Firdaus Rahman berkata, walaupun berita itu mengejutkan, beliau percaya FAM telah bertindak secara telus dalam menguruskan pemain warisan.

“Saya yakin FAM dan pengurusan Harimau Malaya boleh buktikan segala dokumen dan prosedur dibuat dengan betul. Harap rayuan nanti diterima supaya pasukan tidak terjejas,” katanya.

Nada sama turut disuarakan Azman Arifin yang menegaskan penyokong tetap akan berdiri di belakang skuad negara walau apa pun yang berlaku.

“Kita jangan cepat untuk fikir negatif. FAM pun sudah nyatakan akan buat rayuan dan saya yakin ada sinar untuk Harimau Malaya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penyokong Harimau Malaya, Mohd Yunus Alif, mempersoalkan langkah FIFA yang sebelum ini meluluskan tujuh pemain warisan terbabit, namun kemudiannya membuat keputusan berbeza dengan mendakwa mereka menggunakan dokumen palsu.

“Agak pelik kerana mula-mula FIFA lulus tetapi kemudiannya keputusan berubah. Kami juga mahu tahu apa yang berlaku sebenarnya. Saya harap semua perkara ini tidak betul dan hanya salah faham. Semoga skuad negara dapat diselamatkan,” katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan negara selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan isu pemalsuan dokumen.

Antara pemain terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Menerusi kenyataan rasmi badan induk bola sepak dunia itu, FAM didapati mengemukakan dokumen tidak sah bagi membuktikan kelayakan pemain terbabit untuk beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Susulan laporan rasmi yang diterima selepas aksi tersebut, FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (anggaran RM1.8 juta).

Sementara itu, setiap pemain terbabit turut menerima hukuman denda CHF2,000 (sekitar RM10,560) selain penggantungan 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak, berkuat kuasa serta-merta selepas keputusan diumumkan.

Ringkasan AI

  • Gelombang kekecewaan dirasai penyokong bola sepak Malaysia susulan denda dan penggantungan tujuh pemain oleh FIFA kepada FAM
  • Penyokong bercampur reaksi dengan ada mengkritik dan ada yang berharap rayuan FAM akan berjaya
  • Penyokong setia percaya FAM telah bertindak telus dan berharap rayuan akan menyelamatkan pasukan
  • Penyokong mempersoalkan keputusan FIFA yang berubah selepas awalnya meluluskan pemain warisan
  • FIFA mengenakan hukuman berat terhadap FAM dan tujuh pemain atas isu pemalsuan dokumen



Source link

OR

Scroll to Top