‘Reputasi bola sepak Malaysia mesti dipertahankan’

‘Reputasi bola sepak Malaysia mesti dipertahankan’


TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim menegaskan reputasi bola sepak negara perlu dipertahankan daripada sebarang bentuk campur tangan politik atau sabotaj yang boleh menjejaskan kepercayaan terhadap sukan itu.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil maklum keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain Harimau Malaya.

“FAM telah mengesahkan bahawa rayuan akan dikemukakan. Proses ini perlu dipercepatkan dengan menekankan soal integriti dan ketelusan bagi memastikan kepentingan penyokong dan masyarakat dihormati,” katanya menerusi hantaran di laman media sosial.

Adam Adli menegaskan, maruah bola sepak Malaysia adalah tanggungjawab bersama dan setiap pihak perlu bersatu menolak sebarang usaha yang boleh menjejaskan perkembangan sukan nombor satu negara itu.

FAM dan tujuh pemain warisan negara sebelum ini dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

Pemain yang dikenakan tindakan itu ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Alejandro Hevel.

Ketujuh-tujuh pemain itu beraksi untuk Malaysia menentang Vietnam dalam pusingan ketiga Kelayakan Kumpulan F Piala Asia Arab Saudi 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun, selepas FIFA menerima aduan.

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.

FAM bagaimanapun menerusi kenyataan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA berhubung hukuman dikenakan ke atas badan induk itu serta tujuh pemain warisan negara.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi FIFA mengenai kes berkenaan, sambil menegaskan semua dokumentasi dan prosedur berkaitan telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan.

Ringkasan AI

  • Timbalan Menteri Belia dan Sukan menegaskan reputasi bola sepak negara perlu dipertahankan daripada campur tangan politik atau sabotaj
  • KBS mengambil maklum keputusan FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain Harimau Malaya serta menekankan keperluan untuk proses rayuan dipercepatkan
  • FAM dan tujuh pemain warisan negara didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen
  • FAM dikenakan denda CHF350,000 dan setiap pemain didenda CHF2,000 serta digantung selama 12 bulan dari semua aktiviti berkaitan bola sepak
  • FAM akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA berhubung hukuman yang dikenakan



Source link

OR

Scroll to Top