PENGENDALI Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil menzahirkan rasa bangga selepas anak buahnya menampilkan aksi mantap ketika menewaskan Sabah FC 3-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu, yang turut menyaksikan penampilan pemain muda sensasi, Luqman Hakim Shamsudin.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, sorakan padu 20,816 penyokong di venue keramat Hobin Jang Hobin menjadi pemangkin semangat pasukan untuk mempamerkan persembahan bertenaga.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong atas kepercayaan dan sokongan luar biasa.
“Dalam tiga perlawanan di laman sendiri, kami mendapat sokongan yang saya sendiri belum pernah rasai. Pemain juga amat memerlukan suasana sebegini,” katanya selepas perlawanan.
Dalam aksi tersebut, Negeri Sembilan membuka jaringan menerusi Jovan Motika pada minit ke-26 sebelum Ameyaw Alexander Agyakwa menggandakan kedudukan pada minit ke-40.
Joseph Esso melengkapkan kemenangan bergaya skuad Rusa pada minit ke-79 hasil hantaran kemas Mio Tsuneyasu.
Mengulas lanjut, Nidzam menjelaskan aspek disiplin bertahan tetap diberi penekanan meskipun pasukan cuba bermain lebih ofensif.
“Hari ini kami tidak dibolosi melalui sepakan penjuru atau situasi bola mati. Itu yang paling penting.
“Ini kali pertama kami tidak bolos dalam empat perlawanan Liga Super dan saya gembira dengan persiapan sepanjang minggu ini,” ujarnya.
Menyentuh mengenai serangan balas berkesan yang memerangkap Sabah, jurulatih berusia 44 tahun itu menegaskan ia bukan semata-mata hasil taktikal.
“Itu bukan taktikal semata-mata, tetapi hasil kualiti pemain yang kami ada. Kami ada Motika, Selvan dan Luqman Hakim yang baru pulih.
“Ini perlawanan kedua untuk Luqman selepas sebelum ini hanya sempat bermain 10 minit, hari ini dia dapat 30 minit. Mio pula boleh mengubah corak permainan. Kami bermain berdasarkan kekuatan pemain yang ada dan gembira dengan situasi ini,” katanya.
Pada masa sama, Nidzam turut memuji kerja keras Esso yang dianggap penyerang serba boleh.
“Saya gembira untuk Esso kerana dia sepatutnya menamatkan perlawanan dengan sekurang-kurangnya satu gol sebagai hadiah untuk dirinya sendiri.
“Dari segi permainan tanpa bola, Esso bekerja sangat keras. Negeri Sembilan beruntung mempunyai penyerang seperti dia. Nilai ini sangat tinggi bagi saya dan saya amat menghargai komitmen Esso sepanjang perlawanan,” jelasnya.
Ringkasan AI
- PENGENDALI Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil merasa bangga dengan kemenangan 3-0 atas Sabah FC
- Sorakan daripada 20,816 penyokong di stadium menjadi pemangkin semangat pasukan
- Negeri Sembilan mencetak gol melalui Jovan Motika, Ameyaw Alexander Agyakwa, dan Joseph Esso
- Nidzam menekankan disiplin pertahanan dan berbangga kerana tidak kebobolan gol
- Nidzam memuji kerja keras dan komitmen Joseph Esso sebagai penyerang