‘Jika kita sendiri tidak pertahankan maruah kita, siapa lagi?’ – Liridon

‘Jika kita sendiri tidak pertahankan maruah kita, siapa lagi?’ – Liridon


PEMAIN naturalisasi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi meluahkan rasa kecewa susulan keputusan mengejut FIFA yang menjatuhkan hukuman denda terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan penggantungan tujuh pemain warisan.

Menurutnya, tindakan badan induk dunia itu bukan sahaja tidak adil, malah dianggap sebagai penghinaan terhadap Malaysia, pemain serta penyokong bola sepak tanah air.

“Sebagai seorang yang pernah menyarung jersi Malaysia dengan penuh kebanggaan dan mendedikasikan diri kepada negara ini, saya tidak mampu berdiam diri ketika ini.

“Apa yang sedang berlaku susulan keputusan mengejut FIFA terhadap skuad kebangsaan bukan sahaja tidak adil, malah dianggap tidak menghormati Malaysia, para pemain, penyokong serta bertahun-tahun usaha yang dijalankan secara telus mengikut setiap peraturan.

“Malaysia telah melakukan segalanya dengan betul. Setiap dokumen, setiap prosedur, setiap langkah dipatuhi dengan kerjasama kerajaan, FAM dan FIFA sendiri. Semua pemain ini telahpun diluluskan. Mengapa kini tiba-tiba keputusan berubah? Siapa di sebaliknya?

“Ini bukan lagi soal kertas kerja. Ini soal maruah, soal integriti, soal sebuah negara yang sedang bangkit dan kini ada pihak yang takut dengan kebangkitan Harimau Malaya,” katanya dalam satu hantaran di InstaStory miliknya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan negara selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan isu pemalsuan dokumen.

Antara pemain terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Menerusi kenyataan rasmi badan induk bola sepak dunia itu, FAM didapati mengemukakan dokumen tidak sah bagi membuktikan kelayakan pemain terbabit untuk beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Susulan laporan rasmi yang diterima selepas aksi tersebut, FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

Sementara itu, setiap pemain terbabit turut menerima hukuman denda CHF2,000 (sekitar RM10,560) selain penggantungan 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak, berkuat kuasa serta-merta selepas keputusan diumumkan.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui kemajuan bola sepak negara tidak akan berlaku tanpa visi serta kepimpinan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang banyak berkorban demi mengangkat mutu liga tempatan dan skuad kebangsaan.

Namun katanya, perkara yang paling menyedihkan ialah apabila rakyat Malaysia sendiri tidak sentiasa bersatu ketika berdepan cabaran besar seperti yang sedang berlaku ketika ini.

“Sepatutnya ini bukan masa untuk berpecah. Inilah masanya setiap rakyat Malaysia, pemain, penyokong, media, kerajaan, semua berdiri bersama. Jika kita sendiri tidak mempertahankan maruah kita, siapa lagi?

“Kepada rakyat Malaysia, inilah waktunya kita bersatu. Sokong pemain kita, sokong pasukan kita, sokong bendera kita. Kita tidak akan tunduk kepada ketidakadilan. Kita tidak akan biarkan tekanan luar menghentikan kebangkitan Malaysia.

“Kita lawan bersama. Kerana kita Malaysia. Berani kerana benar,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi, kecewa dengan hukuman FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain warisan
  • Tindakan FIFA dianggap tidak adil dan menghina Malaysia
  • Hukuman berupa denda CHF350,000 kepada FAM dan penggantungan pemain terlibat dengan denda CHF2,000 setiap seorang
  • Kecaman terhadap keputusan FIFA kerana semua prosedur dilakukan dengan betul dan kerjasama penuh
  • Liridon mengajak rakyat Malaysia bersatu dalam menghadapi cabaran ini demi mempertahankan maruah negara



Source link

OR

Scroll to Top