georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Anna Jobling, 25, dinobatkan pemenang trofi Outstanding Asian Star – Malaysia di Seoul International Drama Awards 2025 (SDA) yang berlangsung di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan, hari ini.
Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman mencipta kejayaan itu menerusi drama Hai Cinta, Dengarkanlah! dan mendedikasikan trofi terbabit kepada ramai pihak.
“Saya benar-benar terharu dan amat bersyukur atas pengiktirafan ini. Terima kasih Seoul International Drama Awards kerana membuka ruang untuk Malaysia bersinar di pentas antarabangsa.
“Kemenangan ini sangat bermakna kerana ia bukan sahaja untuk diri saya, tetapi untuk seluruh peminat, keluarga, serta pasukan produksi yang tidak pernah berhenti menyokong saya,” katanya.
Anna juga tidak lupa menzahirkan syukur dan terima kasih kepada Tonton dan TV3 kerana sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya.
“Trofi ini adalah kebanggaan bersama, hadiah istimewa yang saya bawa pulang untuk Malaysia,” katanya.
SDA adalah acara berprestij mengiktiraf anak-anak seni dari pelbagai negara yang berjaya dalam kerjaya mereka. Acara terbabit turut disiarkan secara langsung menerusi saluran SBS TV.
Kemenangan itu membuktikan Anna bukan sahaja memikat hati penonton Malaysia malah menarik perhatian peminat antarabangsa. Sekali gus, membuka lembaran baharu mengorak langkah ke peringkat luar.
Sebagai bintang muda yang sedang bersinar, Anna berazam untuk menjadi inspirasi kepada generasi baharu pelakon Malaysia agar berani bermimpi besar dan melangkah lebih jauh.
Kemenangan ini bukan sekadar pengiktirafan peribadi, tetapi juga satu simbol bahawa dunia seni lakonan Malaysia semakin mendapat tempat di mata global.
Anna kini berdiri megah sebagai salah seorang ikon hiburan Malaysia yang mampu mengangkat nama negara di pentas dunia.
Tonton turut meraikan kemenangan bersejarah Anna itu dengan melancarkan kod promo eksklusif “ANNAJOBLING” yang membolehkan peminat menikmati langganan tiga bulan Tonton pada harga istimewa RM20 bermula 25 September lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd