Lebih banyak aksi, lebih dekat Olimpik

Lebih banyak aksi, lebih dekat Olimpik


Aaron-Wooi Yik lebih selesa beraksi dalam seberapa banyak kejohanan setiap tahun apabila menyifatkannya kunci mengekalkan rentak permainan khususnya dalam persiapan jangka panjang menuju LA28.

 

JAGUH beregu lelaki negara, Aaron Chia menegaskan dirinya lebih selesa beraksi dalam seberapa banyak kejohanan setiap tahun kerana ia menjadi kunci utama mengekalkan rentak permainan, khususnya dalam persiapan jangka panjang menuju temasya Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Aaron bersama gandingannya Soh Wooi Yik yang sebelum ini merangkul pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024, mengakui suasana kejohanan kompetitif tidak pernah sama dengan sesi latihan walaupun berdepan risiko kecederaan.

“Saya memang suka bermain banyak kejohanan. Itu cara saya mengekalkan ‘perasaan’ dalam gelanggang.

“Setiap kali turun beraksi, saya akan berikan yang terbaik, soal menang atau kalah letak nombor dua.

“Latihan memang lain. Walaupun beri 100 atau 200 peratus, suasana kejohanan tetap berbeza.

“Kadangkala kita hanya mampu keluarkan 50 peratus kerana ada rasa gementar, apatah lagi bila lawan lebih menyerlah. Tetapi itu tidak bermaksud saya tidak mahu menang,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, pada Jumaat.

Dalam masa sama, Aaron yang juga juara dunia 2022 mengakui masih belum puas dengan pencapaiannya setakat ini.

“Setiap pemain ada definisi sendiri tentang terbaik. Bagi saya, kalau mahu digelar terbaik, saya kena ada kejuaraan dunia, pingat Olimpik dan gelaran besar lain secara konsisten.

“Sememangnya saya sendiri masih belum puas,” ujarnya.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik dijadual memulakan cabaran menentang gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada saingan Terbuka Artik dari 7 hingga 12 Oktober ini, sebagai usaha memperkukuh kedudukan ke Jelajah Akhir Dunia.

 

 

Ringkasan AI

  • Aaron Chia merasa lebih selesa bermain dalam banyak kejohanan sebagai persiapan untuk Olimpik Los Angeles 2028
  • Aaron dan Soh Wooi Yik meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024
  • Bermain di kejohanan dianggap lebih baik daripada latihan walaupun ada risiko kecederaan
  • Aaron masih belum puas dengan pencapaiannya walaupun sudah menjadi juara dunia 2022
  • Aaron-Wooi Yik akan bermain menentang gandingan Denmark di Terbuka Artik sebagai persiapan untuk Jelajah Akhir Dunia



Source link

OR

Scroll to Top