ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali kesembilan berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), selepas menumpaskan Kuching City FC 3-0, sebentar tadi.
Lebih manis, kemenangan aksi pembukaan Liga Super musim 2026/2027 itu membolehkan JDT mencipta rekod dunia dengan 109 perlawanan tanpa kalah dalam aksi liga, memecahkan rekod yang dipegang oleh kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas.
Pada perlawanan itu, The Cats bertandang ke SSI tanpa pemain pinjaman dari JDT iaitu Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid dan Ajdin Mujagic.
Skuad kendalian Xisco Munoz hampir memecahkan kebuntuan seawal minit kesembilan, namun rembatan Bergson Da Silva berjaya ditampan penjaga gol pelawat, Haziq Nadzli.
Serangan bertali arus Harimau Selatan membuahkan hasil dua minit kemudian menerusi gerakan satu dan dua yang dimulakan Marcos Guilherme kepada Bergson sebelum melencongkan bola ke penjuru kiri menewaskan Haziq pada minit ke-11.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak cuba bangkit daripada ketinggalan satu gol itu, namun gerakan yang dijelmakan tidak berjaya menghasilkan sentuhan penyudah yang tepat ke pintu gol JDT.
Pada penghujung babak pertama, Bergson hampir meledak jaringan setelah menerima umpanan Nacho Mendez, namun rembatan leret yang dilakukan sekadar melewati gawang lawan.
Bersambung babak kedua, kapten JDT, Arif Aiman Hanafi mensia-siakan peluang terhidang apabila sepakan voli dilakukan dari luar kotak penalti jauh meliar.
Gawang pasukan tuan rumah hampir bolos apabila Gabriel Nistelrooy Tamin melakukan tandukan ke pintu gol pada minit ke-52, namun Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bertindak pantas mengeluarkan bola dari kotak penalti itu.
Hasrat The Cats untuk bangkit direntap JDT yang menambah jaringan pada minit ke-55 menerusi rembatan deras Oscar Arribas yang gagal diselamatkan dengan baik oleh Haziq menjadikan kedudukan 2-0.
Biarpun ketinggalan, pasukan pelawat tetap garang melancarkan serangan pada minit ke-61 menerusi percubaan Nur Shamie Iszuan Amin, namun pemain pertahanan, Kevin Medina tangkas mengeluarkan bola sebelum melepasi garisan gol.
JDT hampir menambah derita buat pasukan pelawat apabila pemain pertahanan, Antonio Glauder melakukan tandukan ke pintu gol Kuching City namun berjaya diselamatkan oleh Haziq pada minit ke-70.
Harimau Selatan terus garang melancarkan serangan bagi menambah jaringan namun pasukan lawan berjaya menyerap tekanan dan mengelakkan gawang dibolosi jumlah gol yang besar.
Ketika permainan berbaki lima minit sebelum tamat, pemain gantian, Shahab Zahedi menambah derita buat The Cats apabila meledak gol ketiga perlawanan setelah mendapat umpanan cantik Arif Aiman pada minit ke-85.
Kemenangan tersebut membolehkan JDT menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali 11, trofi ke-35 yang dimenangi Harimau Selatan sejak 2013.-UTUSAN
