Marlon menjalani latihan bersama bekas pemain Kedah di Stadium Darul Aman pada petang Sabtu. Foto Exdoubletreblekedah
BEKAS penyerang sensasi Hijau Kuning, Marlon Alex James teruja apabila kembali menjejakkan kaki ke Kedah menjelang perlawanan persahabatan legenda bola sepak Piala CT Global Legend Cup 2025 di Stadium Darul Aman pada 10 Oktober ini.
Dia yang pernah merangkul Kasut Emas Liga Malaysia pada tahun 2008, tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim bersama rakan sepasukannya, Cornelius Huggins pada Sabtu dan disambut meriah oleh lebih 200 penyokong setia serta bekas rakan seperjuangan era kegemilangan ‘Double Treble” Kedah.
“Saya cukup gembira kembali ke Kedah. Ini peluang terbaik untuk mengimbau kenangan manis bersama rakan lama serta penyokong yang meraikan kejayaan dulu.
“Saya tidak sabar untuk beraksi semula demi merebut Piala CT Global Legend Cup,” katanya.
Perlawanan yang dinanti-nantikan itu bakal menemukan skuad Ex Double Treble Kedah dengan pasukan Ex Malaysia Legend yang turut dibarisi nama-nama besar bola sepak tanah air seperti Safiq Rahim, Amri Yahyah, Khalid Jamlus dan Indera Putra Mahyuddin.
Menurut wakil penganjur, Ahmad Fauzi Saari, perlawanan ini bukan sahaja bertujuan mengembalikan nostalgia era kegemilangan bola sepak Kedah, malah menjadi platform untuk menghargai jasa dan pengorbanan bekas pemain tempatan serta import yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara.
“Konsep ‘reunion’ ini adalah untuk tatapan peminat bola sepak, khususnya di Kedah. Ia juga sebagai usaha membantu bekas pemain dari segi kebajikan dan pembangunan ekonomi mereka,” katanya.
Tiket perlawanan telah mula dijual pada harga RM15 untuk ruang teres dan RM25 bagi astaka utama, yang boleh didapati secara fizikal dan dalam talian melalui laman rasmi Facebook Exdoubletreblekedah.
Pasukan Ex Double Treble Kedah akan dikendalikan oleh Radhi Mat Din dan dibarisi pemain-pemain ternama seperti Baddrol Bakhtiar, Akmal Rizal, Rafdi Rashid, Helmi Eliza Elias, Shafizan Hashim dan Nelson San Martin.
Sementara itu, skuad Ex Malaysia Legend pula akan dibimbing oleh Tan Cheng Hoe, dengan barisan pemain yang pernah mencipta nama di pentas antarabangsa.
Ringkasan AI
- Marlon Alex James kembali ke Kedah untuk perlawanan persahabatan Piala CT Global Legend Cup 2025 Marlon Alex James merupakan penerima Kasut Emas Liga Malaysia tahun 2008 Perlawanan ini bertujuan mengimbau kenangan era kegemilangan Kedah dan menghargai jasa bekas pemain Tiket dijual pada harga RM15 untuk ruang teres dan RM25 bagi Astaka Utama Pasukan Ex Double Treble Kedah dan Ex Malaysia Legend akan bersaing dalam pertandingan