Ronaldo dianggarkan memiliki nilai kekayaan bersih sebanyak AS$1.4 bilion (RM5.9 bilion), hasil gabungan pendapatan atas padang, kontrak penajaan, dan pelaburan peribadi. Foto AFP
RIYADH – Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, mencipta sejarah apabila menjadi pemain bola sepak pertama di dunia yang mencapai status bilionair, menurut laporan terkini Bloomberg Billionaires Index.
Ronaldo, 40, yang kini beraksi bersama kelab Arab Saudi Al-Nassr, dianggarkan memiliki nilai kekayaan bersih sebanyak AS$1.4 bilion (RM5.9 bilion), hasil gabungan pendapatan atas padang, kontrak penajaan, dan pelaburan peribadi.
Kenaikan mendadak kekayaan beliau dipacu oleh kontrak baharu bersama Al-Nassr yang ditandatangani Jun lalu, bernilai lebih AS$400 juta (RM1.6 bilion), menjadikannya pemain dengan gaji tahunan tertinggi dalam sejarah bola sepak – AS$237 juta (RM1 bilion) setahun, termasuk bonus dan pegangan 15 peratus dalam kelab tersebut.
Sepanjang kerjaya dari 2002 hingga 2023, Ronaldo telah meraih lebih AS$550 juta (RM2.3 bilion) dalam bentuk gaji, selain perjanjian penajaan jangka panjang dengan Nike bernilai hampir AS$18 juta (RM76 juta) setahun, serta kerjasama dengan jenama seperti Armani dan Castrol yang menyumbang lebih AS$175 juta (RM738 juta) kepada kekayaannya.
Ronaldo juga memiliki empayar perniagaan di bawah jenama CR7, merangkumi pakaian, wangian, gimnasium dan hotel, serta menjana pendapatan besar melalui media sosial – dengan lebih 600 juta pengikut di Instagram, menjadikannya antara personaliti paling berpengaruh dalam dunia digital.
“Saya masih ada semangat untuk bermain,” kata Ronaldo ketika menerima Anugerah Prestige di majlis Portugal Football Globes.
“Keluarga saya kata sudah tiba masa untuk bersara, tapi saya rasa saya masih mampu menyumbang kepada kelab dan negara. Saya mahu terus menikmati setiap detik yang tinggal.”
Dengan pencapaian ini, Ronaldo menyertai senarai eksklusif atlet bilionair seperti Michael Jordan, LeBron James, Tiger Woods dan Roger Federer – menandakan satu lagi mercu jaya dalam kerjaya luar biasa yang telah menjulangnya sebagai ikon global.- Awani
Ringkasan AI
- Cristiano Ronaldo menjadi pemain bola sepak pertama di dunia yang mencapai status bilionair
- Ronaldo memiliki nilai kekayaan bersih sebanyak AS$1.4 bilion hasil pendapatan dan pelaburan
- Kontrak baharunya bersama Al-Nassr bernilai lebih AS$400 juta menjadikan gaji tahunannya paling tinggi
- Sepanjang kerjaya, meraih lebih AS$550 juta dalam bentuk gaji dan perjanjian penajaan dengan Nike dan lain-lain
- Memiliki empayar perniagaan CR7 dan aktif di media sosial dengan lebih 600 juta pengikut di Instagram