Alor Setar: Sebanyak 19 orang daripada enam keluarga masih berlindung di satu pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kota Setar pagi hari ini.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Langgar, di sini yang dibuka sejak Ahad lalu.
“Mangsa belum dibenarkan pulang kerana rumah masing-masing masih digenangi banjir termenung, namun jumlah mangsa terus berkurangan kepada 19 orang berbanding 107 orang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, paras air Sungai Janing di Padang Terap mencatat bacaan 26.17 meter (m) melebihi paras amaran 26m, manakala Sungai Pendang di Pendang merekodkan bacaan 2.21m melebihi paras waspada 2.2m.
Sungai Ketil di Baling pula mencatat 59.7m melebihi paras waspada 59.4m.
© New Straits Times Press (M) Bhd