Atlanta: Jurulatih Republik Demokratik (DR) Congo, Sebastien Desabre tetap berbangga dengan pencapaian anak buahnya walaupun terkandas pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 selepas tewas 1-2 kepada England, awal pagi tadi.
DR Congo mendahului perlawanan selama lebih sejam hasil jaringan awal Brian Cipenga sebelum Harry Kane meledak dua gol dalam tempoh 15 minit terakhir untuk membawa England ke pusingan 16 terbaik.
Desabre berkata, pasukannya berjaya meninggalkan imej positif di pentas dunia walaupun gagal meneruskan kemaraan.
“Apabila mewakili pasukan kebangsaan, anda perlu meninggalkan imej yang baik dan saya percaya kami berjaya melakukannya,” katanya.
Beliau mengakui kecewa dengan penyingkiran itu, namun berasakan pasukannya mempunyai lebih banyak sebab untuk berbangga.
“Kami lebih berasa bangga daripada kecewa. Sudah tentu kami kecewa kerana tersingkir, tetapi kami menjaringkan lima gol sepanjang kejohanan, berdepan pasukan yang memiliki ranking lebih tinggi dan tetap memperoleh keputusan yang baik,” katanya.
Desabre turut menjelaskan pendekatan lebih menyerang yang digunakan bertujuan memanfaatkan ruang di bahagian sayap serta menyekat peranan pemain tengah England, Elliott Anderson.
“Kami mahu menggunakan kelebaran padang dan memerlukan ruang. Pada masa sama, kami mahu menutup ruang di bahagian tengah serta menghalang peranan Elliott Anderson yang penting dalam corak permainan England,” katanya.
Menurutnya, DR Congo hampir mencipta kejutan, namun pengalaman dan kualiti individu membezakan kedua-dua pasukan.
“Kami berjaya memberi tekanan kepada England, tetapi mereka bertindak balas seperti sebuah pasukan besar. Mereka memiliki penyerang terbaik dunia yang akhirnya menyelamatkan mereka.
“Kami melakukan segala yang termampu dan hampir menang. Dalam satu sudut, pencapaian ini juga boleh dianggap sebagai satu kemenangan buat kami,” katanya.
Piala Dunia 2026 menyaksikan penampilan kedua DR Congo di pentas terbesar bola sepak dunia selepas kali pertama beraksi pada 1974 ketika negara itu masih dikenali sebagai Zaire.
Kali ini, mereka mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke pusingan kalah mati selepas muncul antara pasukan tempat ketiga terbaik hasil keputusan seri menentang Portugal dan kemenangan ke atas Uzbekistan pada peringkat kumpulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






