Pencarian 2 pelancong China hilang masuk hari ke-6, belum temui petunjuk

Pencarian 2 pelancong China hilang masuk hari ke-6, belum temui petunjuk


am@hmetro.com.my

Kota Belud: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan dua pelancong warga China yang dilaporkan hilang di Pulau Mantanani, di sini, sejak 5 Oktober lalu, masih menemui jalan buntu.

Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Hafizrul Junaidi berkata, operasi SAR hari keenam bermula pada jam 8.20 pagi, membabitkan pelbagai pendekatan darat, laut dan udara.

Katanya, ia termasuk rondaan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Siring Bukit serta persisiran pantai berdekatan selain pemantauan udara oleh Unit Dron JBPM dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) dari kawasan Jeti Sutera dengan liputan sejauh 3.3 kilometer.

“Operasi SAR turut melibatkan aktiviti penyelaman oleh pasukan PPDA Zon Kudat dan Kota Kinabalu di kawasan Tanjung dengan kedalaman sehingga 700 meter dan jarak penglihatan tujuh meter.

“Begitu juga pencarian darat dalam radius 4.1 kilometer di sekitar Pulau Mantanani serta pemantauan laut menggunakan tiga kayak di kawasan Tanjung sejauh empat kilometer,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi hari keenam ditangguhkan pada jam 6 petang dan akan disambung semula pada 12 Oktober.

Terdahulu, media melaporkan dua pelancong berkenaan, Yu Xiapeng, 25, dan Fan Qin, 28, dilaporkan menginap di Sutera Mantanani Resort pada 4 Oktober lalu.

Mereka sepatutnya mendaftar keluar keesokan harinya namun sehingga kini masih belum ditemui.

Berita berkaitan:

Dua pelancong China kali terakhir dilihat snorkeling di Pulau Mantanani

SAR dua pelancong China hilang di Pulau Mantanani diteruskan

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top