Impian Indonesia ke Piala Dunia musnah

Impian Indonesia ke Piala Dunia musnah


Jeddah: Iraq meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Indonesia di Jeddah, awal pagi tadi, untuk mengekalkan harapan mereka layak kali pertama di Piala Dunia sejak tahun 1986, apabila jaringan separuh masa kedua oleh Zidane Iqbal memusnahkan impian pasukan bimbingan Patrick Kluivert untuk layak beraksi di kejohanan itu tahun depan.

Bekas pemain tengah Manchester United, Iqbal, yang kini beraksi untuk kelab Utrecht, menjaringkan gol kemenangan 14 minit sebelum tamat perlawanan selepas dimasukkan pada permulaan separuh masa kedua bagi pasukan bimbingan Graham Arnold.

Keputusan itu bermakna Iraq akan menentang Arab Saudi, Selasa ini dengan pemenang perlawanan itu layak ke Piala Dunia manakala pasukan yang tewas akan mara ke satu lagi pusingan kelayakan. Indonesia pula tersingkir selepas mengalami dua kekalahan.

“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar dengan cuaca panas dan sebagainya, tetapi kemenangan 1-0 ini memberikan kami keyakinan yang besar.

“Menentang Arab Saudi pasti sukar, tetapi kami berharap dapat menang,” kata Iqbal.

Indonesia dilihat lebih berpeluang untuk meraih kemenangan yang mereka perlukan bagi mengekalkan impian ke Piala Dunia.

Kevin Diks hampir menjaringkan gol dengan tandukan awal yang tersasar sedikit daripada gawang Iraq, manakala sepakan jarak jauh Thom Haye juga hanya sedikit melencung ketika Indonesia memulakan permainan dengan baik.

Mauro Zijlstra dinafikan gol antarabangsa pertamanya hasil terjahan terakhir oleh pertahanan Iraq, Manaf Younis, yang menutup ruang pada jarak dekat ketika penyerang berusia 20 tahun itu menerima hantaran Haye ke dalam kotak penalti.

Tandukan Sherko Karim yang melambung tinggi melepasi palang pada minit ke-29 adalah peluang terbaik Iraq dalam separuh masa pertama, ketika pasukan Kluivert dilihat menguasai permainan.

Namun kesilapan oleh Rizky Ridho menghukum Indonesia apabila pertahanan itu kehilangan bola yang akhirnya sampai ke kaki Iqbal yang menyempurnakan sepakan ke penjuru bawah dari luar kotak penalti.

Ketegangan memuncak menjelang wisel penamat apabila kapten Indonesia, Jay Idzes, cuba meredakan emosi selepas penyokong pasukannya membaling botol air ke padang sebagai tanda protes terhadap keputusan pengadil, Ma Ning dari China.

Zaid Tahseen dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua sembilan minit memasuki masa kecederaan, tetapi Iraq tetap bertahan untuk mengekalkan harapan mereka menyertai Jepun, Korea Selatan, Australia, Iran, Uzbekistan dan Jordan sebagai wakil Asia di Piala Dunia tahun depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top