Wirtz (kiri) bersaing dengan pemain Crystal Palace, Chris Richards semasa aksi liga Selhurst Park, selatan London pada 27 September lalu. Foto AFP
PENGENDALI skuad Jerman, Julian Nagelsmann tampil mempertahankan anak buahnya Florian Wirtz yang kini berdepan permulaan sukar bersama Liverpool, sambil menegaskan prestasi perlahan pemain muda itu hanyalah sebahagian daripada proses menyesuaikan diri di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pemain berusia 22 tahun itu berhijrah ke Anfield pada Jun lalu selepas Liverpool memecah rekod perpindahan kelab, namun masih gagal menjaringkan sebarang gol atau mencipta bantuan jaringan selepas tujuh penampilan liga musim ini.
Bagaimanapun, Nagelsmann mempertahankan prestasi anak buahnya itu dengan menegaskan statistik tidak mencerminkan sumbangan sebenar Wirtz di atas padang.
“Walaupun dia belum menjaringkan gol, Wirtz sebenarnya pemain yang paling banyak mencipta peluang dalam EPL ketika ini.
“Kalau rakan sepasukannya gagal menyempurnakan peluang, itu bukan salah dia, angka semata-mata tidak menggambarkan keseluruhan ceritanya,” katanya selepas Jerman membelasah Luxembourg 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia.
Wirtz sebelum ini menyerlah bersama Bayer Leverkusen, mencatat 57 gol dan 65 bantuan jaringan dalam 197 penampilan sejak menyertai kelab itu dari Cologne pada 2020, sebelum menjadi antara prospek paling bernilai dalam bola sepak Eropah.
Namun, kehadirannya di Anfield berlaku pada ketika Liverpool sendiri bergelut mencari rentak, selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut musim ini.
Rekod perpindahan terdahulu, Alexander Isak, turut dilihat bergelut selepas pra musim yang singkat, manakala Mohamed Salah masih belum menemui sentuhan berbisa apabila hanya menjaringkan lima gol dalam 21 perlawanan terakhir.
“Dia cuma perlu masa untuk menyesuaikan diri dengan intensiti dan corak permainan liga ini. Saya nampak dia bermain dengan kebebasan dan yakin dengan kemampuannya sendiri.
“Wirtz bukan asing dengan tekanan, dan dia tahu kerja keras adalah satu-satunya jalan keluar,” ujar Nagelsmann.
Ringkasan AI
- Julian Nagelsmann mempertahankan Florian Wirtz dari kritikan terhadap prestasi perlahannya di Liverpool
- Wirtz berpindah ke Liverpool pada Jun lalu dan belum menjaringkan gol atau mencipta bantuan pada musim ini
- Nagelsmann menegaskan statistik tak mencerminkan sumbangan Wirtz yang banyak mencipta peluang di EPL
- Wirtz sebelumnya menonjol bersama Bayer Leverkusen dengan 57 gol dan 65 bantuan
- Nagelsmann yakin Wirtz hanya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan Liga Perdana Inggeris