Arif Aiman menegaskan skuad negara tidak akan mengambil mudah cabaran Laos menjelang pertemuan Kelayakan Piala Asia 2027.
BINTANG sensasi Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi menegaskan skuad negara tidak akan mengambil mudah cabaran Laos menjelang pertemuan Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
Menurut Arif, pengalaman menentang pasukan sama di Vientiane baru-baru ini menjadi pengajaran berharga apabila Laos memberi tentangan sengit sepanjang perlawanan sebelum Malaysia meraih kemenangan 3-0.
“Perlawanan menentang Laos memang sukar. Mereka bukan pasukan yang mudah dikalahkan kerana turut berjuang habis-habisan.
“Kami semua bukan hanya seorang pemain, tetapi seluruh pasukan termasuk staf dan pegawai perubatan bekerja keras untuk dapatkan kemenangan itu,” katanya.
Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, setiap pemain komited memberikan aksi terbaik bagi memastikan Harimau Malaya mengekalkan momentum cemerlang di hadapan penyokong sendiri.
“Kami tahu perlawanan kali ini juga tidak mudah. Tetapi semua pemain akan turun dengan semangat tinggi dan memberi 100 peratus untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik Malaysia,” ujarnya.
Skuad kendalian Peter Cklamovski kini dalam misi mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan kumpulan selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut setakat ini.
Ringkasan AI
- BINTANG sensasi Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi tidak akan mengambil mudah cabaran Laos
- Pengalaman bertanding di Vientiane memberi pengajaran berharga selepas mencatat kemenangan 3-0
- Perlawanan menentang Laos dianggap sukar dengan kedua-dua pasukan berjuang habis-habisan
- Arif Aiman menekankan komitmen daripada semua pemain untuk memberikan aksi terbaik
- Skuad kendalian Peter Cklamovski bertujuan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga kemenangan berturut-turut