Putera Adam mengaum di Eropah

Putera Adam mengaum di Eropah

Putera Adam mengaum di Eropah


Putera Adam bersama Levet juara Perlumbaan 2 Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah di Litar Barcelona, Sepanyol.

PELUMBA muda sensasi negara, Putera Adam Halim, terus mengibarkan Jalur Gemilang di bumi Eropah apabila menjuarai Perlumbaan 1 dan 2 Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah di Litar Barcelona, Sepanyol.

Kemenangan berganda itu bukan sekadar mengukuhkan reputasinya sebagai pelumba bertaraf dunia, malah meletakkan pemandu berusia 19 tahun itu di landasan terbaik untuk mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama menjuarai keseluruhan kejuaraan berprestij berkenaan.

Selepas dua kemenangan tersebut, Putera Adam kini mengumpul 94 mata, sekali gus berkongsi kedudukan teratas dengan dua pesaing terdekat, Enzo Geraci dan Josef Knopp dari pasukan Oregon Team.

Putera Adam (kiri) dan Levet bersama jentera pasukan VSR dalam Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah di Litar Barcelona, Sepanyol.

Putera Adam (kiri) dan Levet bersama jentera pasukan VSR dalam Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah di Litar Barcelona, Sepanyol.

“Minggu ini benar-benar luar biasa buat kami. Saya tidak menyangka mampu bersaing untuk gelaran juara keseluruhan pada tahun pertama penyertaan dalam Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo,” katanya selepas perlumbaan.

Dalam Perlumbaan 1, Putera Adam yang bergandingan dengan Paul Levet bermula di petak ketiga, namun kedua-duanya bijak mengekalkan rentak di kelompok hadapan walaupun diasak hebat oleh pelumba lain.

Bersama jentera Huracan EVO2 milik Vincenzo Sospiri Racing (VSR), kepantasan dan disiplin pemanduan Putera Adam terbukti menjadi kunci kemenangan apabila beliau tenang menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

Perlumbaan 2 pula memperlihatkan ketenangan luar biasa pelumba kelahiran Subang itu bermula dari petak ketujuh, berjaya mengelak kemalangan awal yang melibatkan beberapa pelumba lain, sekaligus memanfaatkan situasi untuk melonjak ke kedudukan ketiga sebelum giliran pertukaran pemandu.

Pada pusingan ke-16, rakan sepasukan Paul Levet mengambil alih jentera dan mengekalkan momentum hingga ke garisan penamat menoktahkan satu lagi kemenangan bergaya buat pasukan VSR.

Dengan hanya satu pusingan terakhir di Misano, Itali (6 hingga 7 November ini), semua tumpuan kini terarah kepada Putera Adam yang berpotensi besar menutup musim dengan gelaran bersejarah.

Sekiranya berjaya, pelumba muda ini bakal mengukir nama Malaysia dalam peta sukan permotoran dunia membuktikan anak tempatan juga mampu mengaum di pentas antarabangsa.

Ringkasan AI

  • Pelumba muda sensasi Malaysia, Putera Adam Halim, menjuarai Perlumbaan 1 dan 2 Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah di Litar Barcelona, Sepanyol
  • Kemenangan ini memperteguh kedudukannya sebagai pelumba bertaraf dunia dan menempatkan dia di posisi terbaik untuk menjadi pelumba Malaysia pertama yang menjuarai kejuaraan ini
  • Putera Adam kini mengumpul 94 mata, berkongsi kedudukan teratas dengan dua pesaing terdekat
  • Bersama Paul Levet dan mengendalikan jentera Huracan EVO2, Putera Adam menunjukkan kepantasan dan disiplin dalam pemanduan yang membawa kepada kemenangannya
  • Dengan satu pusingan lagi di Misano, Itali, Putera Adam berpotensi untuk menutup musim dengan gelaran juara, menandai prestasi bersejarah bagi Malaysia dalam sukan permotoran dunia



Source link

OR

Scroll to Top