SEREMBAN: Belum ada sebarang perbincangan rasmi antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi merangka bentuk persefahaman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini kedua-dua pihak tampil dengan kenyataan berbeza mengenai kerusi yang akan ditandingi namun menurut beliau ia adalah perkara biasa.
“Masing-masing mengeluarkan kenyataan, itu biasa dalam politik. Tapi belum ada lagi rasa saya kedua-dua pihak duduk bersama untuk merancang sama ada persefahaman atau bentuk persefahaman seperti mana diadakan di Negeri Sembilan.
“Jadi kita tunggu dan lihat kebijaksanaan kepimpinan kedua-dua parti. Yang pentingnya, matlamat kita adalah untuk mengekalkan kerajaan BN di Melaka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad yang merupakan Pengerusi BN Negeri Sembilan dalam pada itu mengingatkan kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu dilantik perlu menjadi ‘jambatan’ utama dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat.
Katanya, ia demi memastikan dasar serta agenda pentadbiran dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Mohamad berkata, keyakinan tinggi diberikan kepada semua barisan Exco berkenaan untuk memberikan kerjasama erat kepada Menteri Besar selain melaksanakan tanggungjawab mengikut portfolio masing-masing.
Menurutnya, Exco bukan sahaja bertanggungjawab menerangkan dasar kerajaan kepada rakyat, malah perlu memainkan peranan aktif mendapatkan maklum balas, termasuk isu, permasalahan, cadangan dan pandangan masyarakat. – UTUSAN






