Usia cecah 38 tahun, bukan halangan Edan pasang impian ke Sukan SEA

Usia cecah 38 tahun, bukan halangan Edan pasang impian ke Sukan SEA

Usia cecah 38 tahun, bukan halangan Edan pasang impian ke Sukan SEA


USIA bukan alasan untuk pelari jarak jauh negara, Mohd Syahidan Alias menamatkan impiannya mewakili Malaysia di pentas antarabangsa, termasuk temasya Sukan SEA pada masa akan datang.

Meskipun sudah berusia 38 tahun, atlet yang lebih dikenali sebagai Edan itu masih aktif menyertai pelbagai acara larian dan terus berusaha memperbaiki prestasi peribadi.

Beliau mengakui belum pernah beraksi bersama skuad kebangsaan, namun semangat juang dan keazamannya kekal membara.

“Saya belum pernah mewakili negara di Sukan SEA, tetapi saya ada rekod peribadi yang baik. Malah, saya pernah mencatat tiga rekod dunia Guinness sebelum ini atas matlamat tersendiri.

“Dua tahun lagi saya akan memasuki kategori veteran, jadi buat masa ini saya mahu terus memperbaiki rekod peribadi. Jika berpeluang dan tidak terikat dengan komitmen kerja, saya akan cuba mewakili Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Lazada Run di Cyberjaya pada Ahad.

Dalam kejohanan itu, Edan muncul peserta tempatan terbaik apabila menamatkan saingan kategori 21.1 kilometer (km) lelaki di tempat kedua dengan catatan masa 1 jam 17 minit 20 saat (1’17:20s).

Gelaran juara menjadi milik pelari Kenya, Samson Karega, yang mencatat masa 1’16:56s, manakala tempat ketiga dimenangi Nur’Abid Khafiz dengan masa 1’18:57s.

“Alhamdulillah, saya gembira dapat tempat kedua. Larian berjalan lancar, malah saya sempat mengikut rentak pelari Kenya itu sebelum mula ketinggalan pada tiga kilometer terakhir,” jelas Edan.

Sementara itu, bagi kategori wanita 21.1km, pelari Michelle muncul juara dengan catatan 1’37:00s, diikuti Dorene (1’40:08s) dan Lynil Quebec Martinez (1’42:03s) di tempat ketiga.

Acara yang turut diserikan dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bukan sekadar pesta larian, sebaliknya simbol gaya hidup aktif dan semangat perpaduan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.

Lebih 7,000 peserta membanjiri Cyberjaya sempena Hari Sukan Negara, menjadikan suasana penuh meriah dengan aura kecergasan dan semangat Malaysia Boleh.

Penganjuran kali ini menampilkan empat kategori utama — Half Marathon 21km, 10km, 5km Lazada Run serta Lazada × POP MART 5km, yang mencuri perhatian dengan pelbagai kostum berwarna-warni dan kreativiti bertema karakter popular.

Ringkasan AI

  • Usia bukan halangan untuk Mohd Syahidan Alias mewakili Malaysia dalam larian antarabangsa
  • Walaupun berusia 38 tahun, Syahidan masih aktif menyertai larian dan berusaha memperbaiki rekod peribadi
  • Syahidan memiliki tiga rekod dunia Guinness dan berhasrat mewakili Malaysia di Sukan SEA
  • Dalam Lazada Run, Syahidan mendapat tempat kedua dalam kategori 21.1 kilometer lelaki
  • Acara tersebut simbolik kepada gaya hidup aktif dan perpaduan rakyat Malaysia



Source link

OR

Scroll to Top