Hamidin, Ghani, Shahril rebut kerusi No.1 FAM?

Hamidin, Ghani, Shahril rebut kerusi No.1 FAM?

Hamidin, Ghani, Shahril rebut kerusi No.1 FAM?


PETALING JAYA: Perebutan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka berlangsung sengit apabila tiga tokoh bola sepak tempatan dilaporkan mengesahkan hasrat untuk bertanding pada Kongres Pemilihan badan induk itu pada September ini.

Menurut sumber, ketiga-tiga individu berkenaan bukanlah nama asing dalam arena bola sepak negara kerana masing-masing mempunyai pengalaman luas serta pernah memainkan peranan penting dalam pentadbiran sukan paling popular itu.

Malah, ketiga-tiga calon turut memiliki pengaruh dan rangkaian sokongan tersendiri dalam kalangan ahli gabungan FAM, menjadikan perebutan kerusi No.1 badan induk itu sukar diramal.

Sumber memaklumkan antara calon yang menawarkan diri ialah Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang sebelum ini pernah menerajui badan induk berkenaan serta memainkan peranan penting dalam beberapa transformasi pentadbiran bola sepak negara.

Turut dikaitkan dalam perebutan itu ialah Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yang dilihat mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan liga profesional tempatan.

Seorang lagi calon yang disebut-sebut ialah bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM merangkap Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.

“Antara nama yang disebut-sebut untuk bertanding ialah Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, selain Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan yang turut dikatakan bersedia menawarkan diri.

“Turut berada dalam senarai calon ialah Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang dilihat mempunyai kredibiliti tersendiri dalam pentadbiran bola sepak.

“Ketiga-tiga mereka difahamkan telah mendapat jumlah pencalonan yang cukup untuk bertanding merebut jawatan itu,” kata sumber itu kepada Mingguan Malaysia.

Persaingan kali ini dijangka lebih terbuka susulan beberapa pindaan statut FAM yang diluluskan sebelum ini, termasuk pengecilan jumlah jawatan yang dipertandingkan, pengurangan syarat pencalonan minimum dan pertambahan jumlah ahli gabungan.

Perubahan tersebut dijangka mencetuskan persaingan lebih sengit bukan sahaja bagi jawatan presiden, malah turut membabitkan kerusi naib presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) yang bakal menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru.

Difahamkan, proses penghantaran pencalonan telah ditutup Ahad lalu dan semua calon yang dicalonkan kini sedang melalui proses saringan integriti yang diwajibkan oleh FAM.

Setiap calon perlu melepasi tapisan Jawatankuasa Pemilihan FAM yang turut melibatkan semakan oleh tiga agensi utama iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDL) sebelum layak bertanding secara rasmi.

Kali terakhir jawatan Presiden FAM menyaksikan pertandingan adalah pada Kongres Pemilihan 2014 apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdepan Pemangku Sultan Johor ketika itu, Tunku Mahkota Ismail, dalam perebutan jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara.

Dengan tiga calon berprofil tinggi dikatakan berada dalam gelanggang, Kongres Pemilihan FAM September ini berpotensi menjadi antara pemilihan paling menarik dalam sejarah badan induk itu bagi menentukan hala tuju baharu bola sepak Malaysia untuk penggal akan datang. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top