Farahdhiya Imbau Pengalaman Seram Ketika Sertai Pertandingan Nyanyian, Trauma Hilang Suara Secara Misteri

Farahdhiya Imbau Pengalaman Seram Ketika Sertai Pertandingan Nyanyian, Trauma Hilang Suara Secara Misteri


Pelakon dan penyanyi, Farahdhiya mendedahkan pernah melalui pengalaman seram ketika menyertai sebuah pertandingan nyanyian beberapa tahun lalu sehingga meninggalkan kesan mendalam padanya.

Menerusi perkongsian di laman Threads, Farahdhiya berkata, insiden itu berlaku ketika dia sedang bersaing dalam program realiti popular musim kedua dan kejadian aneh tersebut membuatkan dirinya berasa trauma hingga kini.

“Saya rasa tempat tu memang perlukan ‘deep cleanse’ sebab terlalu banyak kejadian pelik berlaku.

“Masa itu, setiap kali saya masuk ke lokasi pertandingan, suara saya akan hilang tiba-tiba walaupun tak sakit.

“Saya pergi jumpa lima orang doktor, siap buat pemeriksaan kamera, tapi semuanya cakap tak ada apa-apa,” tulisnya.

Tambah pelantun lagu popular Bertakhta Di Hati ini, pada awalnya dia tidak pernah menyangka perkara pelik itu berpunca daripada unsur ‘mistik’ kerana menganggap semua orang di sekelilingnya seperti keluarga.

Namun, pandangannya berubah selepas beberapa wartawan menasihatinya supaya lebih berhati-hati.

“Wartawan pesan, ‘orang bagi makan atau minum, jangan ambil’. Masa tu saya mula buka mata. Saya ni jenis tak suka berburuk sangka, tapi sejak kejadian tu, saya jadi sangat berhati-hati.

“Terus saya elak sentuh makanan atau air yang orang hulurkan sebab betul-betul takut,” katanya lagi.

Farahdhiya berkata walaupun kejadian tersebut sudah lebih 10 tahun berlalu, kenangan misteri itu masih meninggalkan kesan dalam dirinya.

“Menang tempat kedua masa tu pun dah jadi satu rezeki besar. Lepas program tu, rezeki datang mencurah-curah. Tapi jujurnya, saya masih trauma dan tak selesa kalau perlu kembali ke tempat tu, terutama kalau kena menyanyi semula di situ,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top