syafil.syazwan@hmetro.com.my
Shah Alam : Penyanyi remaja, Ummi Umairah atau Umai, menyahut cabaran besar apabila dipilih bagi menggantikan tempat Amira Othman untuk menyanyikan lagu Rasa dan Takdir bersama Irfan Haris di pentas Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir (AJL40SA) yang berlangsung malam tadi.
Keputusan saat akhir itu terpaksa dibuat berikutan Amira kini berhadapan masalah kesihatan yang tidak mengizinkannya untuk membuat persembahan pada hari pertama AJL40SA itu.
Menurut Irfan, 25, pencarian pengganti kakaknya itu dilakukan dalam tempoh yang sangat singkat selepas Amira memaklumkan perkara berkenaan pada Jumaat minggu lalu.
“Benda ini agak saat akhir. Kami cari pengganti selama tiga empat hari tetapi tidak jumpa sehinggalah kakak saya sendiri mencadangkan nama Umairah pada hari Ahad lalu.
“Saya terus setuju kerana percaya dengan bakatnya. Walaupun kami hanya sempat menjalani latihan bermula jam 5 petang semalam sebelum terus melakukan ujian suara (soundcheck), saya sangat berpuas hati dengan persembahannya tadi,” katanya kepada Harian Metro.
Irfan menambah, dia enggan menarik diri daripada pertandingan itu kerana tidak mahu mensia-siakan peluang ke separuh akhir yang diusahakannya sejak sekian lama.
Sementara itu, Umairah, 15, mengakui terkejut apabila menerima mesej pesanan ringkas (DM) daripada Amira yang meminta bantuannya ketika dia baru pulang dari sekolah.
“Saya terfikir adakah ini mimpi? Saya terus beritahu Mak Rozi (pengurus) dan kami segera mengosongkan jadual sekolah saya demi membantu Kak Amira.
“Walaupun masa latihan sangat singkat untuk membina keserasian, alhamdulillah kerjasama dengan Abang Irfan sangat mudah dan semuanya berlaku secara semula jadi,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan Umairah akan terus menggalas tanggungjawab itu sekiranya lagu berkenaan layak ke peringkat akhir, Irfan sekadar memberikan jawapan ringkas sebagai kejutan buat peminat.
Dalam masa sama, Amira yang memantau persembahan mereka melalui kiriman video turut memuji nyanyian Umairah yang disifatkan sangat stabil dan bagus.
© New Straits Times Press (M) Bhd






