WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan kumpulan Hamas akan dipaksa melucutkan senjata selepas timbul persoalan mengenai kedudukan kumpulan itu berikutan termeterainya perjanjian damai bertujuan menamatkan perang di Gaza.
“Jika mereka tidak meletakkan senjata, kami akan paksa lucutkannya dan ia akan berlaku dengan cepat, mungkin juga secara ganas,” katanya kepada media pada Selasa sambil menambah proses itu akan dilakukan dalam tempoh masa yang munasabah.
Kenyataan tersebut hadir ketika gencatan senjata yang diusahakan pentadbiran Trump mula berkuat kuasa di Gaza minggu ini.
Namun, persoalan besar masih berlegar tentang bagaimana Rumah Putih akan memastikan Hamas benar-benar melucutkan senjata dan meninggalkan Gaza, seperti yang digariskan dalam fasa kedua pelan damai 20 perkara yang diperkenalkan oleh Presiden AS itu.
Sebelum ini, kenyataan Trump sendiri menimbulkan kekeliruan apabila beliau mengakui Hamas mungkin akan terus memainkan peranan terhad dalam mengekalkan ketenteraman di Gaza dalam jangka pendek.
Pendedahan mengenai pertemuan langsung antara utusan Rumah Putih dan wakil Hamas turut mencetuskan tanda tanya, kerana ia merupakan pertemuan tertinggi antara kedua-dua pihak setakat ini.
Awal minggu ini, Hamas mengeluarkan rakaman video yang menunjukkan anggotanya menembak mati lapan lelaki yang diikat dan dituduh sebagai ‘pengkhianat serta penjenayah’.
Menurut laporan AFP, tindakan itu disasarkan kepada kumpulan jenayah Palestin selepas perjanjian gencatan senjata dimeterai.
Dalam kenyataan di atas pesawat Air Force One, Trump menjelaskan Hamas masih akan memainkan peranan sementara dalam operasi keselamatan sebelum pelaksanaan fasa kedua pelan damai tersebut, walaupun perjanjian itu dengan jelas menyatakan Hamas mesti melucutkan senjata dan melepaskan kawalan terhadap Semenanjung Gaza.
“Mereka berdiri kerana mahu menghentikan masalah, dan mereka telah menyatakannya secara terbuka. Kami memberikan mereka kelulusan buat sementara waktu,” ujar Trump.
Trump turut menegaskan usaha membina semula Gaza akan menjadi proses berisiko dan mencabar, justeru memerlukan kerjasama dengan pihak-pihak tempatan di lapangan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Pelan damai tersebut dilihat sebagai cubaannya yang paling berani untuk menamatkan konflik panjang antara Israel dan Hamas, namun kenyataan bercanggah dari presiden itu terus mencetuskan persoalan sejauh mana AS benar-benar bersedia mengawal semula dinamika kuasa di Gaza. -AGENSI