BEREGU negara mempamerkan nasib berbeza pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Denmark Super 750 2025 di Jyske Arena, Odense, apabila empat gandingan lelaki tersingkir manakala pasangan wanita utama, Pearly Tan–M Thinaah, menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang mara ke pusingan kedua.
Pasangan muda Wan Arif Junaidi–Yap Roy King membuka tirai cabaran negara, namun langkah mereka terhenti selepas tunduk 15-21, 19-21 kepada beregu pilihan Jepun, Takuro Hoki–Yugo Kobayashi, dalam masa 39 minit.
Kekalahan itu menyaksikan pasangan negara kini ketinggalan 0-2 dalam rekod pertemuan dengan lawan di ranking ke-10 dunia itu.
Sementara itu, beregu berpengalaman Ong Yew Sin–Teo Ee Yi turut gagal meneruskan kemaraan apabila tewas straight set 19-21, 14-21 di tangan adik-beradik Perancis, Christo dan Toma Junior Popov.
Keputusan itu membolehkan pasangan Perancis berkenaan merapatkan jurang rekod pertemuan kepada 4-1, masih memihak kepada gandingan negara.
Nasib malang tidak berakhir di situ apabila pasangan pilihan ketiga kejohanan, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani, turut tersingkir selepas dikejutkan juara Terbuka Artik Super 500, Ben Lane–Sean Vendy dari England.
Pertarungan tiga set sengit itu berakhir 13-21, 21-13, 14-21, sekali gus memberi kemenangan pertama buat beregu England dalam pertemuan sulung mereka.
Turut kecundang ialah pasangan utama negara dan pilihan kedua kejohanan, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, apabila mereka tewas 17-21, 13-21 kepada gandingan Indonesia, Muhammad Rian Ardianto–Rahmat Hidayat, dalam masa 33 minit.
Kekalahan itu menamatkan harapan pasangan nombor dua dunia berkenaan untuk melangkah jauh di bumi Odense.
Namun, semangat skuad kebangsaan tetap diselamatkan oleh aksi mantap Pearly–Thinaah, yang tidak memberi ruang kepada gandingan Indonesia, Rachel Allessya Rose–Febi Setianingrum, apabila menang 21-13, 21-17 dalam masa 35 minit.
Kemenangan itu membolehkan juara Terbuka Artik Super 500 berkenaan melangkah ke pusingan kedua dengan keyakinan tinggi sambil mengintai peluang menamatkan kemarau kejuaraan di siri Eropah musim ini.
Ringkasan AI
- BEREGU negara mempamerkan nasib berbeza pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Denmark Super 750 2025
- Empat gandingan lelaki Malaysia tersingkir manakala pasangan wanita utama, Pearly Tan-M Thinaah, mara ke pusingan kedua
- Pasangan Wan Arif Junaidi-Yap Roy King kalah kepada beregu Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi
- Pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tewas kepada adik-beradik Perancis, Christo dan Toma Junior Popov
- Pearly Tan-M Thinaah menang lawan Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum dari Indonesia, mara ke pusingan kedua