am@hmetro.com.my
Kangar: Seorang wanita warga Thailand berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis ganja ketika memasuki negara ini di Padang Besar pada 8 Oktober lalu.
Tertuduh, Kittiya Chaiyaphuek, 27, hanya mengangguk faham dan minta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thai oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu ganja seberat 1.735 kilogram di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar sekitar jam 6.15 petang pada 8 Oktober lalu.
Oleh hal demikian, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dihukum mati.
Pendakwaan dilaksanakan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis, Nurul Idayu Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nurul Idayu dalam hujahannya memohon mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan kepada tertuduh memandangkan kes berkenaan adalah kes berat yang membabitkan hukuman mati.
Nurshahida kemudian menetapkan tertuduh tidak boleh dijamin serta sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Januari tahun hadapan.
Pada 8 Oktober lalu, anggota Kastam yang bertugas di Kompleks ICQs Padang Besar merampas sejumlah besar dadah jenis ganja selepas menahan seorang wanita warga Thailand.
Tertuduh sebelum itu dipercayai dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk membawa bekalan ganja berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd