ISKANDAR PUTERI: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menegaskan beliau tetap merupakan ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu hingga kini.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan ringkas dibuat di laman Facebook rasmi miliknya, hari ini.
“Dulu, kini, selamanya,” katanya ringkas.
Sementara itu, beliau turut memberi bayangan akan turut terlibat dalam kempen BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“‘Full house’. Bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Sempena Pilihan Raya Negeri Johor. Suasana dan semangat gelombang biru yang benar-benar luar biasa.
“Bukan sahaja ini satu petanda positif dalam menuju perang pilihan taya. Malah menunjukkan kestabilan hasil kepimpinan BN Johor di bawah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“InsyaAllah, saya akan bersama-sama demi masa depan Johor yang lebih baik,” tambah bekas Naib Presiden UMNO itu. – UTUSAN






