Dakwa sisa kilang dibuang sesuka hati, cemari anak sungai

Dakwa sisa kilang dibuang sesuka hati, cemari anak sungai


am@hmetro.com.my

Bentong: Seorang penduduk mendakwa aktiviti pembuangan sisa dipercayai daripada kegiatan perindustrian dilakukan secara berterusan di kawasan berhampiran rezab Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan Perindustrian Bentong, di sini.

Penduduk terbabit yang enggan dikenali berkata, kegiatan itu sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu membabitkan lori pelbagai saiz yang keluar masuk ke kawasan berkenaan tanpa mengira waktu.

Menurutnya, dia sendiri melihat lori membawa sisa dalam bentuk separa pepejal serta cecair berwarna hitam sebelum dibuang di kawasan cerun yang kini didakwa hampir rata akibat ditimbus berulang kali.

“Pada awalnya kawasan itu adalah cerun yang dalam, tetapi sisa dibuang sedikit demi sedikit sehingga sekarang hampir menjadi kawasan rata.

“Saya juga nampak terdapat cecair dipercayai sisa daripada proses kilang mengalir keluar dari kawasan itu sebelum memasuki aliran air berhampiran,” dakwanya.

Dia mendakwa aliran berkenaan menuju ke kawasan Kampung Chegar Medang dan Taman Chegar Medang sebelum bersambung ke Sungai Benus dan alirannya ke Sungai Pahang.

Menurutnya, penduduk turut berdepan bau kurang menyenangkan terutama ketika angin bertiup selain mendakwa sisa berkenaan kadangkala tercicir di atas jalan sehingga terkena kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

“Kadang-kadang turut kelihatan sisa haiwan dibuang di situ dan baunya sangat kuat hingga menyebabkan hidung terasa pedih.

“Saya bimbang kesannya terhadap penduduk, haiwan serta sumber air jika perkara ini terus berlaku,” katanya.

Pengadu turut mendakwa terdapat kira-kira 70 premis industri pelbagai saiz di kawasan berkenaan, namun tidak dapat memastikan pihak sebenar yang bertanggungjawab membuang sisa terbabit.

Dia berharap Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tanah, TNB serta agensi berkaitan menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.

Katanya, siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi menentukan jenis sisa yang dibuang, sumbernya serta tahap risiko terhadap alam sekitar dan penduduk berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top