“ARAH tuju sudah jelas dan mudah-mudahan suatu hari nanti kami menjulang trofi.”
Itu tekad penjaga gol utama England, Jordan Pickford, selepas menandatangani kontrak baharu bersama Everton sehingga musim 2029.
Bagi Pickford, lanjutan kontrak itu bukan sekadar ikatan hitam putih di atas kertas, tetapi manifestasi keyakinan terhadap masa depan cerah The Toffees di bawah pengurusan dan tenaga baharu.
“Pemilik baharu menunjukkan komitmen tinggi untuk membawa kelab ke depan, begitu juga pengurus yang hadir dengan visi jelas.
“Kami sebagai pemain mahu terus membina momentum ini dan membawa Everton kembali bersaing di pentas Eropah,” katanya.
Penjaga gol berusia 31 tahun itu menyertai Everton dari Sunderland pada 2017 dengan yuran perpindahan bernilai £30 juta (RM168.33 juta), rekod tertinggi Britain bagi posisi penjaga gol ketika itu.
Kontrak terdahulu Pickford sepatutnya berakhir pada 2027, namun lanjutan dua tahun lagi itu menegaskan kesetiaannya terhadap kelab Merseyside berkenaan.
“Saya amat gembira. Perjanjian ini memberi peluang kepada saya membina legasi di sini, mara ke hadapan dan mengangkat kelab ke tahap yang kami impikan,” katanya.
Sejak menyertai Everton, Pickford telah membuat 326 penampilan, memenangi anugerah Pemain Terbaik Kelab sebanyak empat kali serta meraih 80 penampilan antarabangsa bersama England, kesemuanya ketika mewakili The Toffees.
Tambahnya, tempoh tujuh tahun di Goodison Park bukan sekadar perjalanan karier, tetapi perjalanan peribadi yang membentuk dirinya sebagai insan dan pemain.
“Everton sangat istimewa buat saya. Dari remaja menjadi lelaki dewasa di sini, ia tempoh bermakna buat saya dan keluarga.
“Saya percaya hari-hari sukar sudah berlalu dan kini masa untuk membina momentum sebagai pasukan dan kelab,” katanya.
Berita lanjutan kontrak Pickford hadir selepas Everton mengekalkan kapten pasukan, James Tarkowski dengan kontrak dua tahun awal bulan ini, satu lagi isyarat positif kepada kestabilan skuad bimbingan Sean Dyche itu.
Di peringkat antarabangsa, Pickford terus menjadi benteng kebal England dengan rekod sembilan perlawanan berturut-turut tanpa bolos, dan tidak dibolosi di pentas antarabangsa selama lebih setahun.
Beliau turut menzahirkan hasrat membina legasi sehebat legenda kelab, Neville Southall, yang memegang rekod 751 penampilan dalam semua kejohanan bersama Everton.
“Saya mahu terus membina legasi itu. Neville Southall ialah ikon di Everton, dan saya tidak mahu terlalu jauh di belakangnya, malah kalau boleh berada di hadapannya apabila karier saya berakhir,” katanya.
Ringkasan AI
- Jordan Pickford menandatangani kontrak baru dengan Everton hingga 2029
- Kontrak baru ini mencerminkan keyakinan Pickford terhadap masa depan cerah Everton dan komitmen pemilik serta pengurus baru
- Pickford berhasrat membawa Everton bersaing kembali di pentas Eropah
- Sejak bergabung dengan Everton, Pickford telah membuat 326 penampilan dan memenangi anugerah Pemain Terbaik Kelab empat kali
- Pickford mengungkapkan hasratnya untuk membina legasi di Everton, mengikuti jejak legenda kelab, Neville Southall