Young Tigers mahu berikan aksi terbaik berdepan New Zealand. Foto SOJC
JURULATIH Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mahu skuad kendaliannya beraksi mantap bagi penentuan tempat kelima dan keenam Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 berdepan New Zealand di Stadium Hoki Johor, Taman Daya pada Sabtu.
Malah katanya, kesemua pemain perlu memanfaatkan aksi berkenaan kerana ia bakal menjadi sebahagian latihan dan pengalaman yang boleh dijadikan ‘bekal’ terbaik bagi mengharungi Piala Dunia Remaja di India pada November.
“Kita akan kekalkan prestasi sedia ada dan berusaha untuk mencapai kemenangan menentang New Zealand nanti.
“Momentum di kejohanan ini kita akan bawa ke hadapan dan nampaknya ia positif buat pemain,” katanya kepada pemberita.
Mengulas kekalahan 1-2 kepada India, Nor Saiful Zaini berkata, dia tetap berpuas hati dengan aksi dipamerkan skuad kendaliannya itu.
Katanya, kesemua pemain telah beraksi dengan baik, namun pengalaman ternyata menjadi jurang pemisah antara skuad Young Tigers dengan pemain India.
“Beberapa pemain lawan beraksi di Liga Hoki Dunia selain pentas domestik di India dan seperti yang kita dapat lihat betapa sukar pemain kita untuk merampas bola daripada mereka,” katanya.
Sementara itu, jurulatih India, PR Sreejesh memuji semangat melawan yang diperagakan skuad muda negara di sepanjang perlawanan.
Katanya, aksi mantap tersebut juga menyukarkan anak buahnya untuk menjaringkan lebih banyak gol.
“Bagi saya, ini satu perkara yang hebat dan saya tetap berpuas hati dengan keputusan ini.
“Bagaimanapun, masih ada ruang untuk diperbaiki. Malah, mara ke final sangat penting buat kami dan ia dapat dicapai dengan baik,” katanya.
Ringkasan AI
- Jurulatih Young Tigers mahu skuadnya beraksi mantap lawan New Zealand
- Pertandingan penentuan tempat kelima dan keenam di Kejohanan SOJC
- Pertandingan tersebut dianggap sebagai persiapan dan pengalaman untuk Piala Dunia Remaja di India
- Nor Saiful berpuas hati dengan aksi skuad kendaliannya walaupun kalah 1-2 kepada India
- Jurulatih India memuji semangat lawan yang diperagakan skuad muda Malaysia