am@hmetro.com.my
Temerloh : Minat mendalam terhadap motosikal klasik jenis Vespa mendorong mekanik muda ini membuka bengkel khas membaik pulih dan melakukan restorasi kenderaan berkenaan walaupun tanpa tunjuk ajar sesiapa.
Mohd Shah Effendi Ghazali, 38, berkata., kemahiran itu diperoleh hasil pemerhatian dan percubaan sendiri sejak lebih 10 tahun lalu ketika sering membantu rakan-rakan membaiki Vespa lama.
“Saya tak pernah belajar dengan sesiapa. Dulu bila kawan-kawan buka enjin motor, saya hanya tengok. Dari situ saya belajar perlahan-lahan. Bila tak tahu, saya tanya. Lama-lama saya cuba buat sendiri,” katanya.
Menurutnya, selepas beberapa kali mencuba, dia akhirnya berjaya membaiki dan membina semula Vespa jenis Super MK1 miliknya, sekali gus menjadi titik permulaan kepada minat restorasi hingga kini.
Katanya, kerja membaik pulih Vespa bukan sekadar menukar alat ganti sebaliknya memerlukan ketelitian terutama pada bahagian badan (bodywork) dan tulang rangka (chassis).
“Bahagian paling penting ialah bodywork sebab di situlah nilai sebenar Vespa. Kalau salah buat, bentuk dan karakter asalnya boleh hilang. Jadi kena betul-betul jaga bahagian tu,” katanya.
Beliau berkata, permintaan terhadap perkhidmatan restorasi kini semakin meningkat, terutama dalam kalangan peminat motosikal klasik yang mahu mengekalkan keaslian model lama.
“Biasanya pelanggan akan pilih sama ada nak buat restorasi penuh atau separa. Barang asas seperti tayar, rim dan sistem brek memang perlu ditukar. Tapi kalau nak guna alat ganti ‘performer’ atau premium, kosnya lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya, anggaran kos bagi satu unit restorasi penuh Vespa bermula sekitar RM5,000 hingga RM10,000, bergantung kepada jenis komponen yang digunakan serta tahap kemasan yang diminta pelanggan.
Kini, Mohd Shah Effendi mengusahakan bengkel sendiri dan berhasrat menjadikan minat itu sebagai sumber rezeki tetap sambil mengekalkan warisan motosikal klasik yang semakin diminati generasi muda.
© New Straits Times Press (M) Bhd