Pemain PDRM, Muhammad Danial Noor Hamidi cuba melepasi halangan pemain Kelantan dalam perlawanan separuh akhir Piala Agong di padang Pulapol, pada Sabtu. FOTO : AZYLE KASSIM
PENGENDALI PDRM, K Dinesvaran mengakui berpuas hati dengan peningkatan prestasi semasa dipamerkan penyandang juara berkenaan dalam kempen Piala Agong musim ini.
Biarpun begitu Dinesvaran menegaskan fokus pasukan kini terarah sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Johor di pentas final Piala Agong hujung minggu ini.
PDRM mara ke final buat kali ketiga berturut-turut selepas menundukkan Kelantan 40-30 dalam aksi separuh akhir di padang Pulapol, Kuala Lumpur.
Menurut Dinesvaran, prestasi yang dipamerkan kali ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding perlawanan sebelum ini hasil kerja keras seluruh pasukan.
“Persembahan pasukan kali ini agak bagus berbanding minggu-minggu lepas. Saya berterima kasih kepada semua yang terus menyokong pasukan PDRM,” katanya.
Pentas final nanti bakal menyaksikan pertembungan ulangan musim lalu apabila PDRM sekali lagi menentang Johor yang mara selepas menewaskan Perlis 35-34 dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin.
Bekas pemain kebangsaan itu menegaskan anak buahnya perlu memberi tumpuan penuh terhadap persiapan menjelang perlawanan getir tersebut memandangkan Johor dijangka hadir dengan persediaan mantap di bawah bimbingan legenda New Zealand All Blacks, Rodney So’oialo.
“Johor akan datang dengan persiapan yang bagus, jadi pemain PDRM mesti fokus 100 peratus terhadap persiapan kali ini,” tegasnya.
Dalam masa sama, Dinesvaran menjelaskan skuad kendaliannya musim ini tampil dengan pendekatan taktikal lebih dinamik seiring perubahan struktur pasukan.
“Pasukan tahun ini memiliki dinamik berbeza, jadi perancangan permainan juga tidak sama seperti sebelum ini,” jelasnya.
Musim lalu, PDRM mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Johor 43-29 pada perlawanan akhir di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
INFO
PIALA AGONG 2025
26 Oktober (Ahad)
FINAL
PDRM lwn Johor
(Stadium UM Arena, Universiti Malaya)
Ringkasan AI
- Pengendali PDRM berpuas hati dengan peningkatan prestasi pasukan dalam Piala Agong musim ini
- Fokus pasukan kini terarah kepada persiapan menghadapi Johor di pentas final Piala Agong
- PDRM mara ke final buat kali ketiga berturut-turut selepas menundukkan Kelantan
- Pasukan menunjukkan peningkatan prestasi hasil kerja keras seluruh pasukan
- Perlawanan final Piala Agong bakal menyaksikan pertembungan ulangan musim lalu antara PDRM dan Johor





