Ramli pertahankan belimbing walaupun kurang popular

Ramli pertahankan belimbing walaupun kurang popular


am@hmetro.com.my

Jelebu: Kos baja mencecah RM120 sekampit dan kekangan pasaran yang terhad tidak mematahkan semangat seorang warga emas di Kampung Kuala Pah di sini, untuk terus mempertahankan kebun belimbing miliknya.

Menjadi satu-satunya pengusaha belimbing B10 di daerah Jelebu, Ramli Ahmad, 63, membuktikan kegigihan apabila ratusan pokok di ladang seluas 1.2 hektar miliknya itu tetap mampu menghasilkan ribuan buah sepanjang tahun.

Biarpun terpaksa ‘berperang’ dengan kos dan gangguan haiwan liar, Ramli tetap mengekalkan tanaman buah-buahan itu yang kurang menarik minat peladang lain.

“Belimbing B10 mempunyai rasa yang manis menyebabkan ia perlu dibalut bagi mengelakkan serangan serangga perosak,”katanya.

Ramli berkata pokok belimbing yang ada di kebun sebelum itu sudah melalui proses cantasan bagi mengelakkan ia menjadi tinggi selain tidak menggunakan racun serangga dan racun rumpai.

Katanya, setiap pokok mampu menghasilkan ribuan buah sepanjang tahun disebabkan ia bukan buah-buahan bermusim.

“Jika anak-anak dan isteri ada masa terluang, mereka akan membantu membalut belimbing menggunakan plastik. Namun tidak semua buah pada setiap pokok dapat dibalut.

“Justeru itu banyak buah rosak begitu sahaja selain buah belimbing berkenaan turut menjadi sasaran beruk dan monyet,” katanya.

Menurutnya, buah belimbing dijual sendiri kepada penduduk sekitar dan pelanggan tetap yang sudah mengetahui keenakan belimbing diusahakannya.

“Setiap hari sebanyak lima hingga 20 Kilogram dijual namun ia turut bergantung kepada permintaan.

“Sekilogram belimbing dijual pada harga RM10 dan buah ini bebas racun disebabkan saya tidak pernah menggunakan racun serangga dan racun rumpai,”katanya yang mendakwa kebun belimbing miliknya satu-satunya yang ada di daerah Jelebu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top