nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk hadir lebih kerap di kawasan sekolah dalam usaha kerajaan mengekang aktiviti jenayah dalam kalangan remaja amat dialu-alukan.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, langkah itu tepat pada masanya yang perlu diambil tindakan segera untuk dilaksanakan.
“Ia memandangkan kes jenayah serta isu disiplin di sekolah dan dalam kalangan remaja meningkat sekali gus memperlihatkan seolah-olah persekitaran sekolah dan sekitar kawasan tempat tinggal tidak selamat.
“Bagaimanapun, saya merasakan tugas serta tanggungjawab pihak polis sebagai pegawai perhubungan perlu dirombak semula supaya ia lebih bermakna serta berkesan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagi memastikan usaha membantu bersama membendung kes jenayah dan isu disiplin di sekolah serta kawasan sekitarnya, beliau berkata, terdapat beberapa tindakan perlu diambil dengan segera.
“Nilai semula tugas serta tanggungjawab pegawai perhubungan sekolah supaya lebih berkesan termasuk kekerapan tinjauan, hadir mesyuarat PIBG, alumni, pentadbiran sekolah serta di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Pasukan beruniform lain seperti bomba tentera dan lain-lain boleh turut terbabit sama dalam kehadiran ke sekolah, mesyuarat bersama serta rondaan seperti pegawai perhubungan polis,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya program ceramah kerjaya, pameran berkaitan keselamatan serta lawatan seperti di penjara turut diadakan.
Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pihak sekolah perlu membangunkan ‘profiling’ pelajar yang mempunyai isu emosi, memerlukan kaunseling serta mereka yang disyaki menjalinkan hubungan di sekolah.
“Selain itu, pihak guru dan pelajar juga perlu dilatih supaya mempunyai minda keselamatan dan teknik asas perisikan awam agar boleh mengesan perubahan emosi tingkah laku serta ancaman yang berlaku di sekolah.
“Kawalan perimeter asas juga boleh dilakukan sebelum pelajar masuk dengan membenarkan pemeriksaan mengejut pada dan pemeriksaan berkala di kawasan sekolah yang berkemungkinan menjadi tempat simpanan senjata tajam atau merbahaya,” katanya.
Menurutnya, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga boleh membangunkan sistem mengesan algoritma radikal dan keganasan dalam kalangan pelajar.
“Pihak SKMM juga boleh melakukan jujukan algoritma pembangunan minda positif dan anti radikal dalam kalangan pelajar bagi mengelak pengaruh negatif kepada golongan itu,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun di kawasan tandas perempuan di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, Selasa lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd