Kelab penyokong tuntut pemain TFC lebih agresif

Kelab penyokong tuntut pemain TFC lebih agresif


sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC menuntut pemain Terengganu FC (TFC) agar lebih agresif berdepan Kuching City FC pada Selasa ini.

Skuad Penyu yang ketinggalan dengan tiga jaringan selepas tumpas 1- 4 pada aksi suku akhir pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, minggu lalu bakal bertandang ke Stadium Negeri, Kuching untuk aksi timbal balik bagi penentuan tempat ke separuh akhir.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, anak buah Badrul Afzan Razali perlu menggunakan segala pengalaman yang ada bagi memastikan misi untuk memburu tempat ke peringkat separuh akhir tercapai sebagaimana musim lalu.

“Pemain perlu lebih agresif bermula pada minit awal permainan lagi untuk mencari gol awal bagi meniupkan semangat serta melemahkan semangat lawan.

“Mereka juga perlu memberikan komitmen lebih daripada biasa serta bekerja keras untuk mengimbangi pasukan lawan serta tidak mudah leka setiap pergerakan atau serangan daripada pihak lawan.

“Jika lawan mampu memperoleh empat jaringan di tempat lawan, saya percaya jika pemain mengikut taktikal yang diterapkan jurulatih, pastinya TFC mampu mencipta kejutan di Kuching nanti,” katanya kepada NSTP.

Dalam pada itu Mohd Isa menuntut barisan jurulatih dapat mengubah taktikal yang lebih ampuh bagi mengelak ‘dicakar’ The Cats buat kali kedua.

“Jurulatih perlu ubah taktikal yang biasa digunakan kerana sudah pasti pihak lawan boleh membaca corak permainan pasukan.

“Barisan jurulatih juga perlu lebih berani merombak kesebelasan pemain dengan meletakkan pemain-pemain di posisi yang sepatutnya.

“Satu perkara lagi jurulatih perlu cepat bertindak untuk membuat pertukaran pemain jika pasukan dilihat tidak menunjukkan keupayaan untuk menjaringkan gol,” ujar Mohd Isa.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top