farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berjaya menggariskan hala tuju strategik baharu bagi Malaysia dan ASEAN untuk memperdalam hubungan diplomatik serta perdagangan dengan rantau lain.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lebih membanggakan Malaysia berjaya mencatat sejarah dengan memperluas skop untuk merangkul rakan baharu ASEAN iaitu Timor-Leste.
Mohamad berkata, Timor-Leste adalah sebuah negara yang dibina atas ketabahan dan harapan yang tidak pernah luntur.
Katanya, kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ke-47 dan sidang-sidang berkaitan adalah hasil usaha kolektif besar yang menjayakan kepimpinan Malaysia dalam ASEAN.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kepimpinan beliau membimbing kita dengan penuh ketegasan dan kejelasan dalam menghadapi pelbagai cabaran. Sokongan dan kerjasama daripada rakan Menteri Kabinet Malaysia serta kementerian yang mereka ketuai, amatlah berharga sepanjang perjalanan ini. Terima kasih, rakan-rakan sejawatan sekalian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataannya, Mohamad turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua Ketua Negara dan Kerajaan Negara Anggota ASEAN, Menteri Luar ASEAN, serta Rakan Dialog ASEAN selain Brazil dan Afrika Selatan yang turut serta sebagai tetamu Pengerusi.
“Saya juga ingin menyampaikan penghargaan kepada Setiausaha Agung ASEAN, wakil entiti ASEAN, serta rakan kami dari Finland, Majlis Eropah, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya Setiausaha Agung António Guterres dan Bank Dunia,” katanya.
Tambahnya, koordinasi yang cekap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi sandaran kukuh sepanjang semua acara yang dianjurkan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada anggota keselamatan kita, lelaki dan wanita berbaju seragam serta pemimpin yang memastikan segala-galanya berjalan lancar,” katanya.
Mohamad turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas segala kerjasama yang diberikan sepanjang Sidang Kemuncak ke-46 dan ke-47 dan acara-acara berkaitan.
“Terima kasih atas sokongan terhadap usaha negara tercinta ini mengemudi ASEAN di tengah-tengah perubahan global yang begitu besar dan kerana dengan sepenuh hati menjiwai semangat solidariti dan persaudaraan yang menjadi asas Asia Tenggara serta tunjang kepada segala usaha ASEAN.
“Saya sentiasa berbangga menyambut jiran-jiran kita ke tanah air sendiri dan sebab utamanya adalah anda semua rakyat,” tegasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





