Badi suku akhir belum terlerai, Soon Huat–Shevon yakin masa akan tiba

Badi suku akhir belum terlerai, Soon Huat–Shevon yakin masa akan tiba


Cabaran Soon Huat (kiri)–Shevon di Terbuka Perancis Super 750 terhenti di pentas suku akhir.

Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat–Shevon Lai Jemie mengakui musim kompetitif mereka tahun ini benar-benar menguji kekuatan fizikal dan ketahanan mental selepas sekali lagi tersekat di peringkat suku akhir.

Tersingkir di Terbuka Perancis Super 750 pada Sabtu menambah deretan kekecewaan apabila pasangan suami isteri itu gagal melepasi kelompok lapan terbaik setelah mencatat kekalahan ke-11 di pentas suku akhir musim ini, dan yang keempat berturut-turut dalam siri kejohanan terkini.

Dalam aksi di Glaz Arena, Cesson-Sévigné, Soon Huat–Shevon tunduk kepada gandingan nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe–Huang Dong Ping, 18–21, 16–21 dalam masa 43 minit.

“Ia amat mencabar dari segi mental. Sepanjang musim ini kami sudah lebih 10 kali mara ke suku akhir tetapi belum mampu menembusi separuh akhir.

“Tekanan itu memang ada, namun saya percaya masa kami akan tiba juga,” kata Soon Huat kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pencapaian terbaik pasangan ranking kesembilan dunia itu setakat ini ialah dua penampilan di separuh akhir, masing-masing pada Terbuka Malaysia Super 1000 dan Terbuka India Super 750.

Sementara itu, Shevon pula menyuarakan rasa kecewa gagal menamatkan ‘badi’ suku akhir, namun tetap positif terhadap peningkatan corak permainan mereka yang disifatkan semakin matang dan konsisten.

“Kami sebenarnya bermain dengan baik, cuma beberapa kesilapan kecil ketika berada di hadapan menyebabkan momentum terganggu dan kesempatan itu dimanfaatkan lawan untuk bangkit,” katanya.

Biarpun gagal menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik, persembahan beregu profesional negara itu di suku akhir tetap dipuji apabila tampil lebih baik berbanding edisi 2024, ketika mereka tersingkir di pusingan pertama selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Thom Gicquel–Delphine Delrue, 19–21, 16–21.

Ringkasan AI

  • Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat–Shevon Lai Jemie, menyatakan musim kompetitif tahun ini sangat mencabar dari segi fizikal dan mental
  • Pasangan suami isteri itu gagal melepasi kelompok lapan terbaik di Terbuka Perancis Super 750, menambah kekecewaan dengan kekalahan ke-11 di pentas suku akhir musim
  • Soon Huat–Shevon tunduk kepada gandingan nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe–Huang Dong Ping dengan skor 18–21, 16–21 dalam masa 43 minit
  • Pencapaian terbaik pasangan tersebut setakat ini adalah dua penampilan di separuh akhir Terbuka Malaysia Super 1000 dan Terbuka India Super 750
  • Shevon dan Soon Huat tetap positif walaupun kecewa gagal menamatkan ‘badi’ suku akhir, mencatatkan peningkatan dalam corak permainan yang matang dan konsisten



Source link

OR

Scroll to Top