East Rutherford (Amerika Syarikat): Ketua jurulatih Panama, Thomas Christiansen, menganggap pertengkaran yang berlaku antara Cecilio Waterman dan Jose Luis Rodriguez ketika sesi latihan sebagai petanda positif menjelang aksi terakhir Kumpulan L menentang England, awal pagi esok.
Menurut Christiansen, insiden itu membuktikan pemainnya masih memiliki semangat juang tinggi walaupun Panama sudah tersingkir daripada saingan Piala Dunia 2026 selepas tewas 0-1 kepada Ghana dan Croatia.
“Apa yang berlaku dalam latihan hari ini adalah perkara biasa.
“Saya sebenarnya mahu melihat situasi seperti ini berlaku dengan lebih kerap kerana ia menunjukkan pasukan masih bernyawa. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Jika perkara seperti ini berlaku lagi pada masa depan, itu petanda yang baik kerana ia menunjukkan pemain masih mempunyai keinginan untuk bersaing,” kata bekas pemain antarabangsa Sepanyol kelahiran Denmark itu.
Panama kini memburu mata pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia selepas tewas dalam kesemua lima perlawanan terdahulu, termasuk dibelasah England 6-1 pada edisi 2018.
Christiansen, yang mengendalikan Panama sejak 2020, berkata pertemuan menentang England adalah peluang terbaik untuk menamatkan kempen dengan keputusan membanggakan.
“Ini adalah perlawanan terakhir kami menentang England dan ia peluang yang baik untuk mengakhiri Piala Dunia dengan keputusan positif jika segala-galanya memihak kepada kami.
“Saya fikir kami sudah banyak berubah berbanding pasukan yang bertemu England lapan tahun lalu, tetapi kami perlu membuktikannya di atas padang.
“Sudah tentu ia akan menjadi perlawanan yang sukar, namun saya percaya pasukan mampu memberikan saingan sengit dan mempamerkan persembahan yang baik,” katanya.
Kontrak Christiansen bersama Panama akan berakhir sejurus tamat kempen Piala Dunia 2026 dan masa depannya bersama skuad itu masih belum diputuskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






